Silat Di Persada Dunia

Silat Di Persada Dunia

Silat boleh ditakrifkan sebagai “pergerakan dua tangan, dua kaki dan akal yang waras untuk membela diri”. Seni silat ialah seni mempertahankan diri orang Melayu yang dikatakan telah wujud sejak zaman kerajaan Srivijaya dan mencapai kegemilangannya ketika zaman kerajaan Melaka lebih 500 tahun yang lampau. Silat bukan sahaja seni mempertahankan diri, malah ianya merupakan satu gaya hidup Melayu suatu masa dahulu. Anak teruna yang tidak bersilat dianggap “tidak sempurna” dan pemerhatian penjajah ketika abad ke-18 dan ke-19 turut menyatakan bahawa setiap orang Melayu pandai bersilat dan kanak-kanak lelaki sudah didedahkan kepada ilmu persilatan dari usia yang muda. Menyentuh asal-usul silat, dikatakan terdapat dua aliran utama iaitu seni silat yang sememangnya berasal daripada Nusantara dan seni silat yang diimport atau diadaptasi daripada seni beladiri asing melalui kedatangan pedagang dan pendakwah zaman dahulu. Namun begitu, seni silat yang berasal daripada luar ini telah berasimilasi dengan budaya dan peradaban tempatan dan telah dianggap sebagai Silat Melayu yang asli.

Antara ciri utama yang membezakan silat yang berasal dari Nusantara dan silat yang diadaptasi daripada seni beladiri asing ialah keris. Silat yang berasal daripada Nusantara seharusnya mempunyai sistem atau silibus permainan keris kerana keris adalah lambang jatidiri Melayu dan satu-satunya senjata khusus orang Melayu dan pakaian peradaban Melayu. Selain itu, permainan dan buah atau kaedah silat itu sendiri mencerminkan asal-usulnya. Ada juga persilatan yang mengaku bahawa seni mereka telah dibawa masuk dari Damsyik dan Yunan, dan telah diasimilasi dengan budaya tempatan ratusan tahun yang lalu. Apapun, kedudukan Nusantara sebagai pusat perdagangan dan pertembungan budaya dunia pada suatu ketika dahulu telah memungkinkan seni silat berkembang dan matang sebagai salah satu cabang budaya Melayu asli kini.

Apapun, tidak harus dilupakan bahawa silat Melayu asalnya adalah seni tempur dan ilmu perang orang Melayu. Ianya telah dicipta untuk mempertahankan aqidah, maruah dan pusaka bangsa daripada dijarah penceroboh. Oleh itu, silat bukan semata-mata mempunyai aspek jasmani atau pergerakan fizikal sahaja tetapi ia juga telah diterapkan dengan ilmu spiritual atau keagamaan untuk memperkukuhkan aspek rohani pengamalnya. Selain itu, silat juga menekankan adab dan budaya Melayu yang menjadi teras kepada peradaban dan jatidiri Melayu. Sehingga kini , terdapat ratusan, malah mungkin ribuan aliran dan perguruan silat di Tanah Melayu dan serata dunia. Ada yang berkembang daripada Mahaguru yang sama, dan ada juga yang berbeza asal-usulnya. Ada yang terkenal dan ada juga yang tersembunyi.

Silat Melayu mula berkembang ke persada dunia pada tahun 1980-an apabila beberapa orang tokoh telah membawa silat ke taraf antarabangsa. Prof Jak Othman merupakan salah seorang tokoh yang telah mengembangkan silat Melayu ke luar negara. Sebelum itu, para pesilat daripada Indonesia dan Filipina telah membawa silat ke Amerika dan Eropah. Penampilan silat di dalam Sukan SEA juga telah menyumbang kepada populariti silat di mata dunia. Kini, silat telah dikenali oleh peminat dan pengamal seni beladiri dunia. Pada tahun 2019, silat telah diiktiraf sebagai Warisan Kebudayaan Tidak Ketara milik Malaysia oleh UNESCO. Pada tahun yang sama, pencak silat turut diiktiraf oleh UNESCO sebagai Warisan Kebudayaan Tidak Ketara Indonesia. Ini merupakan pengiktirafan bertaraf dunia ke atas salah satu khazanah warisan peradaban Melayu. Silat dan pencak silat mempunyai asas yang sama iaitu kebudayaan dan adat istiadat Melayu. Bezanya, silat menumpukan kepada seni mempertahankan diri manakala pencak silat menjurus kepada sukan dan pertandingan.

Di Malaysia, badan-badan seperti Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) dan Persatuan Dunia Seni Silat Melayu Malaysia (DSSM) membantu di dalam usaha mengembangkan dan mempromosi seni silat. PESAKA yang telah diasaskan oleh empat tokoh persilatan negara iaitu Almarhum Ustaz Hj Hanafi bin Hj Ahmad (Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia), Almarhum Dato’ Meor Abdul Rahman (Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia), Almarhum Tan Sri Omar Din Mauju (Persatuan Seni Silat Lincah Malaysia) dan Almarhum Hj Anwar Abdul Wahab (Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia) merupakan badan yang menaungi kebanyakan pertubuhan silat di negara ini. PESAKA telah mempelopori sukan silat olahraga dan silat seni di Malaysia. Kedua acara ini memberi suatu perspektif berbeza kepada silat tradisional di mana silat telah dibentuk menjadi suatu sukan seni beladiri yang diiktiraf di peringkat dunia, setaraf dengan Wushu, Taekwondo dan Karate.

Pihak DSSM pula telah bekerjasama dengan Jabatan Warisan Negara Malaysia untuk mencalonkan silat sebagai Warisan Kebudayaan Tidak Ketara di bawah UNESCO pada tahun 2018. Pengiktirafan ini memberikan fokus kepada aspek budaya dan seni silat sebagai warisan peradaban Melayu. Selain sukan, aspek kebudayaan dan kesenian adalah penting kerana ianya mewakili jatidiri sesuatu bangsa. Dengan pengisytiharan silat sebagai Warisan Kebudayaan Tidak Ketara, dunia dapat mengenali dengan lebih dekat apakah itu silat.

Apakah yang menyebabkan silat mampu berkembang ke seluruh dunia? Seni silat bukan semata-mata seni mempertahankan diri, tetapi ia boleh dikatakan sebagai satu budaya atau cara hidup. Seorang pesilat seharusnya dididik dengan disiplin dan adab yang tinggi; adab menghormati guru, ibubapa, saudara-mara dan rakan-rakan. Adab adalah elemen terpenting di dalam kehidupan seseorang. Tanpa adab, seseorang itu dikatakan kurang ajar dan dianggap tidak bertamaddun. Walaupun seseorang itu tinggi ilmunya, tetapi adablah yang mampu menjadikannya seorang manusia yang disegani. Adab merupakan unsur penting di dalam persilatan. Dikhabarkan, anak murid yang tidak beradab dianggap menderhaka kepada gurunya akan mendapat balasan yang setimpal dengan kelakuannya. Berkat guru merupakan sesuatu yang amat diharapkan dan tanpa berkat guru, seseorang anak murid itu tidak akan dapat menguasai ilmu persilatannya. Ini adalah kerana ilmu itu disampaikan melalui guru yang memegang amanah Allah. Guru merupakan “kunci” kepada ilmu tersebut dan jika diamalkan tanpa izin dan restu daripada guru, ilmu tersebut berkemungkinan tidak akan berkesan atau akan memakan diri. Begitulah kepentingan adab dari perspektif persilatan, dan ianya seharusnya dibawa ke dalam kehidupan seharian.

Seorang pesilat juga seharusnya seorang yang penyabar, kerana kesabaran adalah kesinambungan kepada adab. Di dalam Islam, sabar adalah sebahagian daripada iman. Kesabaran diberikan nilai yang begitu tinggi, setaraf dengan keimanan. Ini adalah bersesuaian dengan amalan di dalam persilatan yang secara majoritinya berasaskan agama Islam. Kedatangan Islam ke Nusantara seawal abad ke-7 masehi telah membawa banyak perubahan dan penambahbaikan kepada peradaban Melayu dan juga persilatan. Islam juga telah datang bersama beberapa bentuk seni beladiri yang telah diserapkan dengan budaya tempatan, secara langsung memperkasakan seni silat Melayu. Kedatangan Islam membawa bersama falsafah dan konsep baru yang diserapkan ke dalam silat. Teknik dan falsafah yang terdahulu mengalami pengubahsuaian dan penambahbaikan hasil daripada interaksi dengan budaya luar. Perubahan ini bukan sahaja mempengaruhi seni silat, malah adat, pakaian dan persenjataan.

Terkini, silat Melayu diamalkan oleh lebih 2 juta pesilat di Malaysia dan semakin mendapat tempat di serata dunia. Silat terus berkembang dengan adanya tenaga pengajar dan guru dari kalangan bangsa asing yang tertarik dengan keindahan dan keberkesanan seni beladiri Melayu ini. Guru Doc Dority dari Texas, Amerika Syarikat merupakan salah seorang guru yang bertauliah dan mengajar silat di Amerika Syarikat. Beliau mempunyai ramai anak murid dari kalangan penduduk setempat. Beliau merupakan pengamal Pencak Silat Mande Muda, Silat Macan Hitam, Seni Silat Kuntau Tekpi dan Silat Harimau Berantai. Menariknya, beliau bukan sahaja mengajar praktikal silat, tetapi turut menelusuri adab dan adat Melayu di dalam Persilatan. Beliau juga menulis artikel mengenai silat dan perbezaan silat berbanding dengan seni beladiri lain. Guru Rob Brandt bukanlah nama asing di dalam arena persilatan antarabangsa. Beliau yang menerajui Silat Melayu Keris Lok 9 di Belanda giat memperkembangkan silat Melayu di sana. Beliau juga merupakan seorang pengumpul keris yang tegar; di samping itu, beliau juga meminati beberapa jenis seni persenjataan Melayu yang lain. Dalam situasi pandemik ini, silat tetap bergerak aktif walaupun terpaksa mengikut pelbagai garis panduan dan piawaian yang telah ditetapkan. Silat turut mengambil langkah yang proaktif dengan mengaplikasikan teknologi moden di dalam komunikasi bagi menganjurkan kelas dan kejohanan dalam talian, baik di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Dua contoh terkini ialah Kejohanan Silat Berkeris Kebangsaan 2021 dan Kejohanan Maya Seni Silat Terbuka Belanda 2021 yang dijalankan secara dalam talian.

Seperti yang dinyatakan di awal tadi, silat dan keris tidak dapat dipisahkan. Keris yang merupakan lambang jatidiri Melayu juga boleh digunakan sebagai senjata untuk melindungi diri dan keluarga. Evolusi rekabentuk keris merupakan di antara pengaruh Islam terhadap seni silat Melayu. Keris yang pada awalnya mempunyai hulu dan ukiran berbentuk antropomorfik (berbentuk manusia) telah berubah kepada bentuk yang lebih abstrak, tanpa menjejaskan fungsi asasnya atau maksud di sebalik rekabentuknya. Falsafah keris juga mula dimantapkan dengan konsep dan falsafah berasaskan Tauhid dan aqidah Islamiah. Asimilasi budaya ini dilihat sebagai salah satu faktor yang memudahkan Raja-raja dan masyarakat Melayu untuk menerima Islam. Keris juga merupakan pakaian peradaban yang memerlukan pemakainya supaya sentiasa beradab dan bermaruah. Seseorang yang memakai keris atau pekeris tidak seharusnya melakukan perbuatan yang kurang sopan atau memalukan atau biadap. Secara tidak langsung, keris yang membawa erti jatidiri Melayu menjadi pelindung kepada pemakainya daripada melakukan tindakan yang di luar batas. Ini adalah sebab kenapa keris seharusnya diklasifikasikan sebagai “pakaian peradaban” dan “barang budaya” di bawah Undang-undang Malaysia, dan bukan sebagai “senjata berjadual”. Ini juga bersesuaian dengan pengisytiharan keris sebagai Warisan Kebudayaan Tidak Ketara pada tahun 2008.

Seorang pesilat biasanya dilatih dengan lebih dari satu jenis senjata. Selain keris, pedang, tombak, sundang, tumbuk lada, badik, parang, lawi ayam dan kerambit merupakan antara senjata warisan yang dipelajari oleh seorang pesilat. Setiap jenis senjata mempunyai kaedah, disiplin dan etikanya yang tersendiri. Daripada latihan bersenjata ini, pesilat bukan sahaja belajar menggunakan senjata, tetapi juga seharusnya adab dan adat bersenjata dan tanggungjawab apabila memiliki senjata.

Seorang pesilat yang dididik dengan adat dan adab Melayu Islam yang sempurna, memakai keris di pinggangnya, tidak akan menghunus senjata atau berkelakuan tidak senonoh dan membahayakan orang sekeliling. Sebaliknya, merekalah yang membantu mengekalkan keamanan dan keharmonian, sepertimana yang berlaku ketika zaman kegemilangan kerajaan Melayu dahulu. Orang yang berbusana, bertanjak lengkap berkeris tidak seharusnya ditakuti tapi sebaliknya diberi penghormatan dan kepercayaan sebagai seorang gentleman yang elegan dan berbudi bahasa. Bak kata perpatah Melayu, “membujur lalu, melintang patah,” begitulah adab dan pembawaan seorang pesilat. Walaupun cekap bermain senjata, tetapi tidak semudah itu untuk beliau menghunus senjata di pinggang, kecuali maruah Agama, Bangsa dan Tanahair diganggu gugat. Penerapan adab dan adat inilah yang memberikan silat kelebihan untuk gemilang di persada dunia.