Dewan Budaya September 2021

Pedang, Sundang dan Parang: Persamaan dan Perbezaan

Pedang, sundang dan parang merupakan tiga bentuk senjata warisan Melayu yang mempunyai bilah panjang. Namun begitu, setiap jenis senjata ini mempunyai fungsi dan falsafah yang tersendiri. Penulis pernah menyentuh secara umum mengenai perbezaan ini di dalam makalah yang lepas. Di dalam makalah kali ini, penulis ingin menjelaskan dengan lebih terperinci mengenai perbezaan pedang, sundang dan parang dari sudut definisi bahasa, tipologi dan mekanik. Untuk perbincangan kali ini, penulis hanya kan menyentuh pedang yang berhulu pendek (segenggam). Parang panjang atau parang anak buaya yang sering disebut sebagai pedang juga tidak dimasukkan ke dalam perbincangan kali ini kerana ianya adalah sejenis senjata unik yang memerlukan perbincangan yang khusus.

Dengan merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Keempat, pedang ditakrifkan sebagai “senjata yang panjang bilahnya, biasanya tirus di hujungnya dan tajam”. Kamus yang sama mendefinisikan sundang sebagai “keris sundang, sejenis keris yang lebar bilahnya seperti bilah pedang” dan parang sebagai “sejenis pisau besar, golok”. Kamus Pelajar Edisi Kedua memberikan definisi parang sebagai “sejenis alat daripada besi yang bermacam-macam bentuknya tetapi lebih besar daripada pisau”. Manakala golok ialah “parang pendek yang matanya tirus ke hujung”. Takrifan yang diberikan di dalam kamus mungkin agak umum, namun begitu ada asasnya. Daripada takrifan ini boleh kita simpulkan bahawa pedang ialah senjata berbilah panjang dan biasanya tirus ke hujung. Sundang pula berbentuk keris besar dengan mata lebar manakala parang adalah sejenis pisau besar atau golok – golok pula didefinisikan sebagai “parang pendek”. Definisi bahasa ini sudah cukup membuktikan bahawa ketiga-tiga jenis senjata ini adalah berbeza. Kekeliruan berlaku apabila rujukan dilakukan mengikut daerah. Sebagai contoh, kelewang adalah sejenis parang di pantai timur Semenanjung Malaysia, manakala di Sumatera ia merujuk kepada sejenis pedang pendek (atau golok di Jawa). Kelewang di Jawa pula merujuk kepada sejenis pedang pendek yang dibawa masuk oleh Belanda. Untuk mengelakkan kekeliruan ini, penulis menggunakan Kamus Dewan sebagai rujukan yang autoritatif dan mewakili takrifan Bahasa Melayu standard, tanpa menggunakan penamaan kedaerahan. Takrifan pengkaji barat bahawa semua jenis senjata berbilah panjang itu adalah sword atau pedang perlu diketepikan untuk merungkai kekeliruan ini.

Definisi kedua adalah mengikut tipologi atau rupabentuk fizikal senjata tersebut. Ketiga-tiga jenis senjata ini boleh dibahagikan secara amnya kepada tiga bahagian iaitu hulu, bilah dan sarung. Hulu pedang biasanya mempunyai bentuk yang kembang ke belakang. Ini adalah untuk mengemaskan genggaman kepada pedang ketika ianya digunakan. Ada juga bentuk pedang yang mempunyai tapak hulu yang lebar yang menyendal tangan pemakainya supaya tidak terlucut dari genggaman. Bentuk ini juga membantu di dalam hayunan bilah pedang dan untuk memudahkan potongan dilakukan. Hulu pedang juga biasanya mempunyai keratan rentas yang membujur untuk memudahkan pemakainya menjajarkan mata bilah pada sasaran. Tedapat juga hulu pedang yang dipasangkan dengan pelbagai bentuk sangga atau guard yang merupakan salah satu ciri khusus pedang. Hulu pedang biasanya dibuat dengan menggunakan bahan organik seperti kayu, gading, tulang, tanduk dan juga logam seperti tembaga, besi dan perak.

Hulu sundang pula hampir sentiasa berbentuk seperti kepada burung. Fungsinya serupa dengan bentuk hulu pedang, tetapi bentuk ini adalah ciri khas bagi sundang. Menurut pakar beladiri dunia, Prof Jak Othman, bentuk hulu sundang diambil daripada bentuk kepada garuda. Disebabkan bentuk puting bilahnya, genggaman pada hulu sundang agak kecil berbanding dengan hulu pedang. Oleh kerana itu, ianya biasa dipasangkan dengan asang-asang untuk membantu mengelakkan bilah daripada tercabut dari hulu ketika digunakan. Hulu sundang biasanya diperbuat daripada bahan organik yang ada kalanya disalut dengan logam dan disimpai.

Hulu parang pula biasanya lebih ringas berbanding dengan pedang dan sundang. Hulu parang juga mengembang ke belakang untuk memudahkan aksi menetak dan menakik, dan supaya ganggaman pemakai tidak mudah terlucut. Bagi parang yang digunakan sebagai senjata, biasanya terdapat bahagian tajam yang boleh digunakan untuk menghentak dan mengunci anggota lawan. Secara amnya, hulu parang lebih ringkas dan asas bentuknya daripada pedang dan sundang. Bentuk-bentuk hulu parang biasanya berbentuk seperti tapak kijang, tapak kuda dan kepala burung, dan ada juga yang berbentuk silinder yang dikenali sebagai hulu larik. Kepelbagaian bentuk parang amat tinggi, bergantung kepada fungsi masing-masing. Kesemua bentuk hulu bagi ketiga-tiga jenis senjata ini adalah ergonomik dan memberikan genggaman yang kemas serta selesa kepada pemakainya.

Seterusnya, bentuk bilah memainkan peranan yang amat penting untuk menentukan sama ada senjata itu pedang, sundang atau parang. Bilah pedang biasanya panjang (tidak kurang dari 23 inci), menirus ke hujung (atau sekata lebarnya) dan agak nipis jika dibandingkan dengan bilah-bilah sundang dan parang. Bilah pedang ada yang tebal di pangkal dan menipis ke hujung, dan ada yang ketebalannya sekata. Ini adalah bergantung kepada rekabentuk dan fungsi pedang tersebut. Ada juga bilah pedang yang boleh dilentur. Bilah pedang ada yang lurus dan ada yang melengkung, ada yang mempunyai dua mata dan juga satu mata yang tajam. Pucuk bilah pedang juga terbahagi kepada tiga bentuk iaitu mendongak, menunduk atau seperti mata lembing. Terdapat juga bilah pedang yang mempunyai “kepala buaya” atau yalman di bahagian hujungnya. Ini adalah pengaruh daripada kerajaan Turki Uthmaniyah. Titik imbangan pedang juga biasanya adalah dekat kepada hulunya. Ada bilah pedang yang mempunyai alur untuk meringankan bilahnya tanpa menjejaskan struktur bilah. Bilah pedang sesuai untuk memotong, melibas, menghiris dan juga menikam.

Bilah sundang pula berbentuk seperti bilah keris lengkap dengan ganja, aring, akut, kerawang, muka, dagu, pipi, lembah dan lain-lain bahagian yang terdapat pada sebilah keris. Ada juga sundang yang mempunyai alur dan tulang. Ada bilah sundang yang berpamor dan ada yang tidak. Sundang juga ada yang mempunyai lok dan ada yang lurus. Panjang bilahnya ada yang mencapai 23 inci. Bilah sundang jauh lebih lebar dan besar jika dibandingkan dengan bilah keris. Sundang juga mempunyai bilah yang lebih tebal dan lasak untuk tujuan menebas dan menetak. Dari segi titik imbangan, sundang dan pedang mempunyai titik imbangan yang hampir serupa iaitu hampir kepada hulu.

Jika dibandingkan dengan pedang dan sundang, bilah parang pula melebar ke hujung. Ini adalah bersesuaian dengan fungsinya untuk menetak dan memotong. Ini adalah ciri khas parang. Bilah parang biasanya lebih tebal berbanding dengan pedang dan sundang. Titik imbangannya juga lebih ke hadapan jika dibandingkan dengan pedang dan sundang. Di antara ketiga-tiga senjata ini, parang adalah senjata dwifungsi yang juga sering digunakan sebagai alat pertanian. Ini membezakannya dengan pedang dan sundang yang sememangnya direka sebagai senjata. Namun begitu, tidak semua jenis parang direka sebagai alat pertanian. Ada juga yang dijadikan senjata untuk mempertahankan diri.

Elemen terakhir ialah sarung. Pedang biasanya mempunyai sarung yang ringkas dan tirus bersesuaian dengan bentuk bilahnya. Sarung juga merupakan satu ciri wajib kepada pedang. Sundang, seperti keris, juga wajib mempunyai sarung. Sarung sundang berbeza daripada sarung pedang kerana sarung sundang mempunyai bahagian sampir yang lebar untuk menyimpan bahagian ganja sundang. Sampir pada sarung sundang ada yang dibuat daripada kepingan kayu yang berasingan seperti sampir keris dan ada yang diukir daripada kepingan kayu yang sama dengan batang sarungnya. Parang pula biasanya tidak mempunyai sarung kerana bentuk bilahnya yang lebar ke hujung. Namun begitu, ada juga jenis parang yang ada sarung seperti amanmeru Acheh dan sinangke Bugis.

Setelah meninjau rupabentuk fizikal ketiga jenis senjata ini, satu lagi faktor yang perlu kita lihat ialah dari sudut fizik dan biomechanics. Untuk membicarakan perihal sifat fizik pedang, penulis hanya merujuk kepada pedang yang mempunyai hulu pendek atau segenggam, begitu juga dengan parang. Pada dasarnya, terdapat empat jenis genggaman yang digunakan untuk memegang pedang. Ini adalah genggaman menetak (90°), memotong (45°), menikam dan menyimpan, di mana hulu dipegang secara terbalik, dengan bilah pedang menghala ke dalam (simpan) dan bukan dihunus. Bentuk hulu akan menentukan jenis genggaman mana yang sesuai digunakan untuk senjata tersebut. Genggaman menikam dapat disaksikan dengan jelas pada genggaman sebilah keris. Hulu sundang pula sesuai untuk genggaman menetak dan memotong kerana bentuknya yang seganggam kemas. Bentuk bilah sundang juga tidak membenarkan bilahnya dipegang dalam keadaan simpan, kerana terdapat aring dan kerawang yang boleh mencederakan pemakainya. Hulu parang agak versatil dan boleh digenggam dalam keempat-empat keadaan tetapi bentuk bilah parang yang biasanya tumpul serta melebar ke hujung membuatkan genggaman menikam agak kurang sesuai, kecuali pada bilah parang yang tajam hujungnya seperti kelewang.

Bentuk hulu ini juga sebenarnya dipengaruhi oleh titik imbangan dan titik perkusi pada bilah. Titik imbangan pada pedang biasanya lebih rapat kepada hulu dengan titik perkusi berada pada bahagian 2/3 bilah. Bilah sundang yang lebih berat dan padat pula mempunyai titik imbangan ke hadapan sedikit berbanding dengan pedang. Ini adalah kerana sundang amat sesuai untuk menetak dan melibas serta menghiris. Pada parang pula, biasanya titik imbangan berada di tengah bilah. Bilah parang akan terasa berat ke hujung apabila dipegang, dan ini membuatkan ianya amat sesuai untuk menetak dan membelah. Titik perkusi agak sukar dikesan secara manual pada bilah parang kerana bilahnya pendek dan tebal. Begitu juga dengan bilah parang yang panjang kerana ia lebih tebal berbanding dengan pedang dan sundang. Selain itu, titik imbangan dan titik perkusi turut dipengaruhi oleh distal taper atau tirus distal, iaitu bentuk bilah yang semakin menipis ke hujung jika dilihat dari atas. Ada pedang Melayu yang yang tiada atau kurang tirus distal. Sundang seharusnya mempunyai tirus distal dan begitu juga dengan parang. Satu lagi faktor yang menentukan imbangan bilah ialah profile taper atau tirus profil, iaitu bentuk bilah yang semakin tirus ke hujung jika dilihat daripada sisi bilah. Tirus profil bersama tirus distal menyumbang kepada kedudukan titik imbangan pada bilah pedang, sundang atau parang.

Dari segi biomekanik, permainan pedang banyak menggunakan otot-otot brachioradialis, extensor dan flexor pada lengan bawah untuk menggerakkan bilah pedang. Oleh itu, bilah yang agak ringan dan mempunyai titik imbangan lebih rapat ke hulu diperlukan untuk bermain pedang. Oleh kerana bilahnya yang panjang, potongan boleh dilakukan daripada jarak yang lebih jauh berbanding dengan sundang dan parang. Selain itu, pedang juga digunakan untuk menikam. Permainan sundang pula lebih melibatkan otot-otot bisep, trisep dan belakang (trapezius) kerana gerakannya lebih kepada menetak dan melibas. Bilahnya yang lebih pendek berbanding dengan pedang juga memerlukan lebih kuasa daripada otot-otot teras badan untuk membuat tetakan yang baik. Gerakan parang pula memerlukan keseluruhan otot-otot lengan untuk dilaksanakan dengan baik. Ini adalah benar terutamanya untuk parang yang mempunyai bilah pendek atau bilah panjang yang berat. Lebih banyak kuasa diperlukan untuk bermain parang kerana beratnya dan titik imbangan yang lebih jauh ke hadapan berbanding dengan pedang dan sundang. Ini menjadikan parang sejenis senjata pelbagai guna yang lasak berbanding dengan pedang dan sundang yang mempunyai fungsi yang lebih spesifik.

Daripada pengalaman dan kajian penulis, penamaan sesuatu senjata itu harus mengambilkira banyak faktor, bukan panjang bilah semata-mata. Seperti yang telah dibicarakan dalam makalah kali ini, bilah yang panjang tidak bermakna senjata itu boleh dipanggil sebagai pedang. Faktor-faktor seperti titik imbangan, titik perkusi, tirus distal, tirus profil, bentuk hulu dan kaedah permainan juga perlu diambil kira. Ini adalah kerana pedang, sundang dan parang masing-masing mempunyai falsafah yang unik yang membezakan antara satu sama lain. Inilah yang ada kalanya gagal difahami oleh pengkaji-pengkaji barat, lalu membuat penilaian berdasarkan perspektif mereka dan bukan konteks budaya Melayu.