Dewan Budaya Oktober 2021

Seni Pedang Melayu: Ke manakah hala tujunya:

Seni pedang Melayu bukan sahaja menyentuh mengenai kaedah penggunaan pedang tetapi ia juga merangkumi segala ilmu yang berkaitan dengan pedang. Ini termasuklah falsafah, rekabentuk, sejarah, teknologi pembuatan, bahan, ragam hias, pengecaman dan adab serta adat berpedang. Ilmu berpedang ini merentasi beberapa disiplin akademik seperti fizik, kimia, biomekanik, fizik kuantum, sains sukan, kejuruteraan, matematik, ilmu kemanusiaan, sastera, psikologi, sejarah, malah keagamaan. Dalam makalah pada kali ini, penulis ingin menyarankan beberapa perkara yang mungkin boleh dipertimbangkan oleh pihak-pihak berwajib demi melestarikan ilmu pedang Alam Melayu ini.

Salah satu isu utama di dalam ilmu berpedang ini ialah penamaan. Sama ada penamaan jenis pedang atau bahagian-bahagiannya. Seperti yang kita sedia maklum, Nusantara ini amat tinggi dari segi kepelbagaian budaya dan bahasanya. Hampir setiap daerah atau kawasan mempunyai dialek malah bahasa yang unik. Sebagai contoh, perkataan “kelewang” membawa erti yang berbeza di Kelantan, Sumatera dan Jawa. Begitu juga dengan perkataan “sundang”. Sesuatu usaha harus diambil untuk meleraikan kekusutan ini. Suatu inisiatif yang merentas sempadan geografi perlu diambil untuk mengumpulkan dan mengklasifikasikan maklumat ini ke dalam satu dokumen lengkap. Mungkin pihak kementerian yang berwajib daripada negara-negara di Nusantara ini boleh menjalankan inisiatif ini, bermula daripada narasumber yang masih boleh diakses. Penulis sedar akan wujudnya beberapa kumpulan yang aktif membincangkan hal-hal yang berkait dengan seni senjata Nusantara, khususnya pedang, sama ada secara fizikal mahupun dalam talian. Namun, usaha persendirian ini seharusnya disokong dan dibantu oleh pihak kerajaan melalui kementerian yang berkenaan serta institusi-institusi pengajian tinggi, juga tidak dilupakan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka. Penulis sendiri pernah dan sedang terlibat di dalam beberapa inisiatif di peringkat kebangsaan dan antarabangsa untuk memperkenalkan dan melestarikan seni pedang Melayu khasnya dan seni senjata Melayu amnya.

Seminar-seminar berkaitan dengan kebudayaan Melayu perlu diketengahkan, khususnya yang memberi fokus kepada seni persenjataan sama ada dari aspek falsafah, seni, sains, permainan (persilatan) dan pembuatan. Pada 5 September 2021, penulis telah dijemput untuk menghadiri seminar antarabangsa dalam talian bertajuk The Ancient Weapons of Central Sulawesi atau Senjata-senjata Warisan Sulawesi Tengah. Seminar ini telah dianjurkan oleh pihak Tentera Nasional Indonesia – Askar Darat (TNIAD) Korem 132 Tadulako. Ia merupakan satu usaha untuk memperkenalkan serta melestarikan sejenis senjata tradisional Sulawesi Tengah yang dikenali sebagai guma. Seminar antarabangsa ini telah disertai oleh peserta daripada 15 buah negara. Selain seminar seperti ini, aktiviti seperti pameran dan forum serta pertandingan yang berkaitan dengan senjata warisan ini juga perlu diadakan untuk menarik minat masyarakat umum serta membuka minda mereka mengenai seni senjata yang kian dilupakan ini.

Festival Seloka 1000 Keris yang telah dianjurkan oleh Persatuan Keris Semenanjung dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia dan Kementerian Perlancongan, Seni dan Budaya Malaysia pada hujung tahun 2019 juga merupakan salah satu langkah yang baik di dalam usaha mempromosikan dan melestarikan senjata warisan Melayu. Acara yang berlangsung di Muzium Di Raja (Istana Negara Lama), Kuala Lumpur ini telah berjaya mengumpulkan lebih 1000 bilah keris dan 3000 orang pengunjung dalam masa 2 hari. Ia juga merupakan satu peluang untuk pengunjung mengetahui mengenai keris-keris Melayu dan berinteraksi dengan pakar-pakar serta pengumpul dan penggiat bidang perkerisan dengan lebih dekat. Selain daripada pameran, Seloka 1000 Keris juga telah memperkenalkan buat pertama kalinya Pertandingan Silat Berkeris, di mana para peserta berpeluang mempertontonkan kemahiran berkeris masing-masing. Gerai jualan turut dibuka untuk memberi peluang kepada penonton membeli keris-keris dan senjata warisan yang lain, baik yang baru mahupun yang antik. Acara ini dihangatkan lagi dengan Kejohanan Memanah yang turut menarik peminat panahan tradisional dari seluruh negara.

Ketika dunia sedang dilanda pandemik ini, kejohanan-kejohanan silat baik di peringkat daerah, negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa terpaksa dilakukan secara dalam talian. Penulis sendiri berpeluang menyertai dua kejohanan silat peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Kejohanan Dutch Open International Virtual Silat Championship telah menyaksikan pesilat berpedang mengungguli acara Solo Bersenjata Pendekar I di mana Malaysia mendapat pingat emas dan perak, diikuti Jerman dengan pingat gangsa. Ini menunjukkan bahawa pedang masih mendapat perhatian di dalam dunia persilatan peringkat dunia. Pencapaian ini seharusnya dijadikan sebagai satu pemangkin kepada kita untuk terus mempromosikan dan melestarikan seni berpedang di dalam Malaysia. Walaupun bukan secara fizikal, tetapi kejayaan Malaysia membawa seni berpedang ke persada dunia telah membuka mata masyarakat silat antarabangsa bahawa pedang adalah sebahagian daripada persenjataan seorang pendekar silat zaman dahulu.

Webinar dan kelas dalam talian turut diadakan bagi menggalakkan perkongsian ilmu seni berpedang ini. Kebelakangan ini banyak pihak telah membuat inisiatif sendiri untuk menyiarkan rakaman video serta lintas langsung mengenai budaya dan peradaban Melayu. Trend ini semakin menjadi ikutan, khasnya di peringkat Institusi Pengajian Tinggi. Beberapa acara dalam talian telah dijalankan oleh pihak-pihak seperti Institut Alam & Tamadun Melayu, UKM, Institut Peradaban Melayu, UPSI dan Muzium & Galeri Tuanku Fauziah, USM serta universiti-universiti lain telah dilaksanakan untuk menggalakkan perkongsian ilmu di kalangan para siswazah, pensyarah dan orang awam. Seni berpedang ini juga boleh diperkenalkan di sekolah-sekolah sebagai satu aktiviti ko-kurikulum yang bermanfaat.

Ilmu pedang boleh dibahagikan kepada teori dan praktikal. Selain praktikal mengendalikan pedang, praktikal pembuatan sebilah pedang juga perlu dilestarikan supaya kemahiran ini tidak hilang ditelan zaman. Salah satu keluhan di antara golongan tukang besi ialah generasi kini tidak berminat dengan kerja-kerja pertukangan besi. Kebanyakan daripada mereka lebih mementingkan perkerjaan makan gaji yang menawarkan imbuhan yang lumayan dan kerja yang mudah. Pertukangan besi untuk menghasilkan bilah senjata bukan sahaja suatu kerja yang memenatkan dan berbahaya kepada yang tidak terlatih. Ia juga memerlukan jiwa seni dan ilmu pengetahuan berkenaan senjata warisan Melayu. Mungkin ini juga salah satu faktor pekerjaan ini kurang diminati oleh generasi kini. Namun begitu, institusi pendidikan seperti Institut Kraf Negara menghasilkan graduan-graduan yang dilatih di dalam seni pertukangan besi. Saranan penulis, mungkin pihak berwajib seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Jabatan Muzium Malaysia boleh mengadakan inisiatif atau program di mana para graduan ini diserapkan ke dalam industri seni persenjataan dan kraftangan tradisional demi meneruskan kelangsungan industri ini. Kerajaan juga boleh mewujudkan peluang kepada tukang-tukang besi yang menghasilkan senjata warisan ini dengan menawarkan skim bantuan dari segi peralatan dan infrastruktur serta tenaga kerja. Selain itu, pengiktirafan sebagai “adiguru” atau “tokoh kraf negara” kepada tukang-tukang besi yang mencapai tahap kepakaran tertentu juga boleh diadakan untuk menggalakkan perkembangan dan kelangsungan industri ini.

Dari segi perundangan pula, selaras dengan usaha untuk memperkenalkan dan melestarikan seni senjata warisan Melayu, khususnya seni pedang, mungkin pindaan tertentu boleh dibuat di dalam akta yang berkenaan untuk memberi kelonggaran kepada penggiat dan pengamal seni pedang Melayu ini. Mungkin kelonggaran boleh diberi kepada pertubuhan-pertubuhan silat dan yang berkaitan dengan seni senjata Melayu supaya mereka boleh menyimpan, mempamerkan serta membawa senjata-senjata warisan yang telah di daftarkan dengan persatuan atau pertubuhan masing-masing. Sijil digital juga boleh dikeluarkan untuk pertubuhan dan pengamal atau penggiat untuk mengenalpasti identiti mereka. Walau bagaimanapun, paling penting pada pendapat penulis ialah masyarakat umum dan juga penguatkuasa undang-undang perlu diberi kesedaran dan memahami bahawa penggiat senjata warisan dan pengamal seni beladiri bukanlah samseng jalanan yang merbahaya kepada orang awam, sebaliknya mereka adalah pembela seni warisan dan peradaban Bangsa. Mereka yang benar-benar menghayati kaedah permainan pedang dan layak digelar “pemedang” tidak akan mencabut dan melibas pedang mereka sewenang-wenangnya. Peraturan seperti memakai busana tradisional Melayu lengkap dan membawa kad keahlian atau sijil digital ketika membawa senjata warisan seharusnya menjadi salah satu syarat utama.

Apa yang diutarakan di atas hanyalah sekadar saranan penulis sebagai seorang penggiat dan pengamal ilmu pedang Melayu. Adalah diharapkan ada pihak yang ambil cakna dan membawa perkara ini ke aras yang seterusnya.