Dewan Budaya Ogos 2021
Pedang sebagai senjata atau hiasan?
Di dalam artikel pada kali ini, penulis ingin menyentuh mengenai peranan sebilah pedang di dalam masyarakat, dan bagaimana untuk kita mengenalpasti sama ada pedang itu dibuat bertujuan sebagai senjata atau sebaliknya. Petua-petua ini bolehlah dijadikan sebagai panduan kepada mereka yang baru hendak mengenali dunia senjata warisan, para pengkaji serta penulis mahupun mereka yang bertugas dalam bidang muzium dan antikuiti. Ianya bukanlah kanun yang wajib diikuti, sebaliknya ia bertujuan untuk memberi sedikit gambaran mengenai ketulenan sebilah pedang. Ia juga boleh digunakan secara umum untuk senjata warisan yang lain. Apapun, ilmu dan pengalaman amat penting dan ada kalanya pakar dalam bidang ini sekali pun boleh terpedaya dengan kelicikan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.
Selain daripada suatu alat yang digunakan untuk mempertahankan diri dan maruah seseorang, senjata juga merupakan lambang status, objek seni dan ada kalanya digunakan dalam ritual keagamaan dan penyembahan. Oleh kerana itu, senjata tajam seperti pedang sering disanjung dan dikaitkan dengan individu-individu tertentu yang mempunyai signifikan dari perspektif sejarah, agama dan juga politik. Dalam Alam Melayu, keris Taming Sari dan pedang Cura Si Manjakini merupakan di antara senjata ternama yang menjadi objek yang signifikan kepada Kesultanan Melayu Melaka. Di Britain, pedang Excalibur merupakan pedang lagenda yang dikatakan milik seorang raja agung yang dikenali sebagai King Arthur. Begitu juga dengan pedang-pedang yang dinasabkan kepada Nabi Muhammad SAW yang kebanyakannya disimpan di Muzium Topkapi di Turki.
Selain daripada mengetahui sejarah sebilah pedang itu, kita juga seharusnya mengetahui apakah jenis senjata mengikut zaman tertentu. Sebagai contoh, pedang melengkung mula terkenal di timur tengah pada abad ke-15 masehi, iaitu 800 tahun selepas zaman Nabi Muhammad SAW dan 300 tahun selepas zaman Sultan Salahuddin Al Ayyubi. Sebelum itu, kebanyakan pedang yang dihasilkan di timur tengah mempunyai bilah lurus dan bermata dua. Oleh itu, tidak mungkin Sultan Salahuddin Al Ayyubi menggunakan pedang melengkung (seperti yang dipercayai umum) ketika menentang Tentera Salib pada abad ke-12. Jika ada pihak yang mendakwa pedang tertentu berbilah lengkung adalah milik Sultan Salahuddin Al Ayyubi, maka ianya adalah sesuatu yang tidak tepat. Namun begitu, tidak bermakna pada zaman tersebut tiada langsung pedang melengkung. Ini terbukti kerana terdapat sebilah pedang yang diberi nama Al-Mikhdam yang dinasabkan kepada Rasulullah SAW mempunyai bilah melengkung. Namun begitu, lengkungannya adalah sedikit dan pedang jenis ini amat jarang ditemui di Tanah Arab.
Sebilah pedang yang digunakan sebagai senjata mempunyai ciri-ciri tertentu. Rekabentuk, rupa dan bahan yang digunakan untuk membuat pedang tersebut menentukan fungsinya. Seperti yang telah dinyatakan awal tadi, pedang pernah digunakan sebagai senjata, lambang status, hadiah dan juga objek keagamaan. Sebilah senjata perlulah diperbuat daripada bahan-bahan yang tahan lasak. Contohnya, bilah pedang yang digunakan sebagai senjata biasanya diperbuat daripada besi keluli yang biasanya disepuh. Sekiranya sebilah pedang itu diperbuat daripada tembaga atau besi yang tidak disepuh, maka kemungkinan besar ianya bukanlah objek yang digunakan sebagai senjata. Ada juga pedang yang bilahnya diperbuat daripada besi tahan karat atau stainless steel. Pedang jenis ini adalah biasanya bertujuan sebagai hiasan dan bukan untuk digunakan dalam pertempuran. Ini adalah kerana besi tahan karat tidak sesuai untuk dibentuk menjadi bilah yang panjang kerana ianya rapuh walaupun boleh diasah menjadi amat tajam.
Perbezaan di antara pedang sebenar dan pedang hiasan ini amat penting kerana ianya boleh menentukan hidup mati seseorang pemedang. Bayangkan pedang anda patah apabila terkena senjata lawan, atau pedang anda bengkok terkena perisai lawan. Ilmu ini juga penting bagi golongan kolektor senjata kerana banyak juga senjata tiruan dijual di dalam pasaran. Selain daripada bahan, imbangan, rekabentuk, rupa dan “rasa” pedang itu juga boleh menentukan gred senjata tersebut. Keberkesanan sebilah pedang bergantung kepada kebolehgunaan pedang tersebut. Pedang yang terlalu berat atau terlalu besar, sudah tentunya sukar atau tidak boleh digunakan di dalam pertempuran. Terdapat beberapa jenis pedang yang dikecualikan daripada peraturan ini seperti greatsword, montante, spadone atau zweihander dari Eropah dan odachi atau nodachi dari Jepun. Pedang-pedang ini adalah “pedang medan” yang digunakan sebagai senjata anti-infantri dan anti-kavalri atau tentera berkuda. Ianya bukan senjata persendirian atau pakaian diri yang khusus. Itupun, imbangan, rupa dan rekabentuk pedang-pedang ini tetapnya menampakkan bahawa ianya adalah senjata berbahaya dan bukan hiasan.
Terdapat juga pedang sebenar yang dihiasi emas permata. Pedang-pedang seperti ini biasanya adalah pedang anugerah atau kebesaran yang tidak dibawa ke medan peperangan. Sebaliknya, pedang seperti ini adalah alat kebesaran dan senjata istiadat yang dipakai ketika majlis keraian atau majlis rasmi di istana. Pedang istiadat atau pedang kawad termasuk di dalam kategori ini. Pedang-pedang seperti ini biasanya tidak diasah, khasnya untuk model pedang barat seperti saber dan masonic sword. Namun begitu, ada di antara pedang-pedang ini yang diasah tajam dan boleh digunakan untuk bertempur. Sehingga awal abad ke-20, pedang-pedang istiadat adalah pedang sebenar yang disepuh tetapi tidak diasah. Pedang-pedang istiadat moden (pasca Perang Dunia Kedua) biasanya adalah replika pedang sebenar yang tidak diasah dan hanya digunakan di dalam istiadat dan majlis rasmi.
Istilah “replika” sering disalah ertikan. Replika bermaksud salinan 1:1 daripada objek yang asal, dengan menggunakan bahan, rekabentuk dan teknik penghasilan yang serupa dengan objek asal. Replika biasanya dihasilkan oleh pihak muzium sebagai ganti kepada bahan pameran asal sekiranya bahan asal terlalu bernilai, atau sebagai pinjaman kepada pihak lain yang ingin mengadakan pameran di tempat mereka. Sekiranya bahan yang berbeza digunakan, sebagai contoh, gading digantikan dengan plastik, maka ianya tidak boleh diistilahkan sebagai replika sebaliknya reproduction atau salinan. Tidak semestinya salinan ini berkualiti rendah. Terdapat juga salinan pedang asal yang hampir menyerupai 1:1 objek asal, yang biasanya dibuat untuk para pengumpul dan peminat. Pedang salinan ini juga digunakan untuk perfileman, di mana pedang “prop” ini dibuat daripada bahan yang berbeza. Contohnya ada yang menggunakan kayu, plastik, gentian kaca, gentian karbon dan resin serta getah untuk menghasilkan semula pedang atau senjata tersebut bagi tujuan perfileman. Salinan juga turut dibuat pada abad ke-19 di Eropah untuk meniru gaya pedang-pedang klasik daripada abad ke-16 dan 17 untuk mereka yang berminat dengan gaya dan penampilan pedang zaman tersebut. Peniruan ini kerap dibuat di zaman Victorian akibat daripada pengaruh Renaissance serta kebangkitan semula falsafah, sastera dan seni klasik. Namun begitu, budaya ini kurang diamalkan di Alam Melayu.
Selain daripada replika dan salinan, terdapat juga pedang-pedang palsu yang sering dikaitkan dengan individu-individu tertentu yang biasanya berpengaruh di dalam sejarah, politik atau agama. Pedang-pedang palsu ini biasanya hanyalah objek berbentuk pedang yang langsung tidak menepati kriteria sebilah pedang sejati. Kebanyakan objek-objek ini diperbuat daripada tembaga tuang yang mempunyai kualiti yang amat rendah, tetapi ianya disanjungi oleh mereka yang tidak mempunyai ilmu dan pengetahuan asas mengenai seni pedang. Di Alam Melayu ini, pedang-pedang Rasulullah SAW dan para sahabat sering dijadikan sasaran pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Penulis sendiri telah beberapa kali melihat pedang-pedang palsu ini di pameran-pameran bertemakan Islam dan juga di muzium-muzium tempatan. Ada sesetengah pihak mendakwa mereka bertabarruk (mengambil berkat) dengan objek-objek ini, tetapi kepada penulis, masalahnya ialah objek-objek ini sering dilabel sebagai artifak kenabian yang jelasnya adalah palsu. Sekali lagi, ilmu dan pengetahuan mengenai pedang dan ilmu perang penting untuk menghindarkan kita daripada tertipu dan menipu. Satu lagi kategori yang termasuk dalam “objek berbentuk pedang” ialah pedang latihan sama ada daripada kayu, bahan sintetik ataupun besi. Pedang latihan biasanya direkabentuk untuk keselamatan, di samping memberikan “rasa” senjata yang sebenar.
Apapun, perkara paling penting untuk kita menilai sesuatu pedang itu ialah pada bentuk fizikalnya. Adakah ianya sebilah senjata, alat kebesaran, hiasan, prop filem atau sampah pelancong yang tidak bernilai? Ini adalah kerana kebanyakan daripada kita, khasnya di Alam Melayu ini, tidak pernah memegang pedang yang sebenar. Oleh kerana itu, timbul bermacam spekulasi dan andaian mengenai berat, saiz, bahan dan kebolehan sebilah pedang itu. Pedang adalah senjata berbilah panjang yang menirus atau hampir sama lebar bilahnya daripada pangkal ke hujung. Bilah pedang biasanya di antara 1 inci hingga 2 inci dan mungkin mencapai 4 inci bagi pedang yang amat panjang. Kebanyakan pedang mempunyai titik imbangan yang hampir kepada hulunya, dan hulu pedang hendaklah selesa untuk digenggam dengan genggaman penukul (hammer atau icepick grip), genggaman pepenjuru (handshake grip) atau genggaman tusuk (pistol grip) atau kombinasi genggaman tersebut. Pedang adalah senjata versatil yang boleh digunakan dengan satu atau dua tangan, dan aliran gerakan pedang seharusnya elegan dan tidak kekok. Seorang pemedang yang mahir juga tidak akan melagakan mata pedangnya dengan senjata lawan secara sengaja. Ini adalah kerana mata pedang adalah bahagian yang paling penting dan perlu sentiasa dikekalkan ketajamannya. Pedang juga direka untuk memotong kulit, daging, tendon dan ada kalanya tulang. Ianya bukan untuk memotong objek-objek keras seperti besi dan paku. Pedang seharusnya dihormati dan dijaga dengan baik, sesuai dengan tarafnya sebagai senjata bangsawan dan juga sunnah baginda Rasulullah SAW.