Dewan Budaya October 2020
Seni Pedang Melayu
Amanah, Maruah dan Sejarah
Pedang merupakan antara senjata tajam yang paling digeruni hingga masa kini. Banyak kisah yang sering kita dengar mengenai pedang-pedang tersohor sama ada di barat mahupun dalam Alam Melayu sendiri. Kebanyakan tamaddun di dunia ini mempunyai pedang mereka yang tersendiri. Pedang juga sering dianggap sebagai pakaian istimewa golongan Raja dan bangsawan. Di dalam kebanyakan masyarakat, pedang hanya boleh digunakan oleh golongan tertentu. Dalam zaman feudal Jepun contohnya, adalah menjadi satu kesalahan besar jika rakyat biasa memiliki pedang yang hanya boleh dipakai oleh golongan samurai. Pedang bukan sahaja senjata, malah merupakan alat kebesaran dan lambang status seseorang. Di dalam Alam Melayu juga, pedang sering dikaitkan dengan Raja-raja. Pedang Cura Si Manjakini merupakan antara pedang Melayu yang paling dikenali dan masih wujud sehingga kini di dalam simpanan Kesultanan Melayu Perak. Pedang juga sering disebut di dalam hikayat dan syair seperti Hikayat Malim Dewa, Hikayat Hang Tuah dan Syair Siti Zubaidah Perang Cina, malah catatan kerajaan luar seperti China, Okinawa, Vijayanagara dan Turki Uthmaniyah turut menyebut pedang Melayu.
Pedang ditaktifkan sebagai senjata tajam yang mempunyai bilah logam yang panjang, yang digunakan untuk melibas dan menikam. Evolusi pedang boleh dilihat sejak Zaman Gangsa lagi. Bukti arkeologi menunjukkan bahawa pedang gangsa telah mula digunakan sejak 1,700SM. Dengan penemuan besi, bilah pedang yang lebih panjang telah boleh dihasilkam sejak 1,200SM. Pedang yang diperbuat daripada besi keluli pula mula muncul pada abad pertama sebelum Masehi, iaitu selaras dengan kewujudan industri peleburan besi terbesar di dunia di Sungai Batu, Kedah yang ditarikhkan pada 788SM. Besi keluli mempunyai kandungan karbon yang tinggi dan lebih tegar daripada besi biasa. Besi dari Sungai Batu ini juga dikenali sebagai besi Qala’i atau besi Qalah. Besi Qalah pernah dieksport ke serata dunia. Al Kindi di dalam abad ke-9 Masehi ada menyebut bahawa pedang-pedang yang terbaik dihasilkan di Yaman, India (Hind) dan Qalah. Abu Dulaf di dalam catatan beliau pula ada menyebut bahawa pedang-pedang terbaik dibuat di Qalah, dan beliau pernah menyaksikan pembuatan pedang di sana.
Secara amnya, terdapat dua jenis pedang, iaitu yang mempunyai bilah lurus dan yang mempunyai bilah melengkung. Mata atau bahagian yang tajam mungkin terdapat di satu atau kedua-dua belah bilah senjata tersebut. Pada awalnya, pedang dikatakan berasal daripada pisau atau “dagger” yang panjang. Panjang bilah ini semakin bertambah dengan penemuan bahan-bahan serta teknik baru untuk membuat pedang. Pedang dengan bilah melengkung dikatakan telah wujud kemudian sedikit daripada pedang lurus. Antara faktor pedang melengkung dicipta ialah perubahan dalam taktik peperangan dan juga kemajuan dalam teknologi pembuatan pedang. Pedang melengkung juga mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Abad ke-16 menyaksikan penggunaan pedang melengkung seperti saber, kilij, syamsir, tulwar, dao, tachi dan katana semakin meluas.
Di Nusantara pula, kebanyakan senjata tajam mempunyai bilah yang tidak lurus. Pelbagai jenis parang, golok, pisau, badik, kerambit dan juga pedang Melayu mempunyai bilah yang melengkung atau hampir lurus. Ini mungkin boleh dikaitkan dengan kewujudan silat sebagai seni beladiri orang Melayu yang telah wujud sejak ratusan tahun yang lampau. Selain daripada itu, prinsip budaya dan nilai estetik masyarakat setempat juga mempengaruhi bentuk senjata yang dihasilkan.
Bagaimanakah kita membezakan antara pedang dan senjata lain seperti parang? Apakah ciri-ciri yang membolehkan sesuatu senjata itu dikenali sebagai pedang?
Mereka yang memakai pedang atau pemedang seharusnya terdiri daripada individu yang berperibadi tinggi dan mempunyai jatidiri dan adab yang mulia. Ini adalah kerana pedang itu adalah lambang ketinggian peradaban dan budaya. Pedang bukanlah senjata amuk atau senjata gasar seperti yang sering digambarkan. Pedang itu adalah “pelindung” kepada nilai-nilai murni yang menjadi harta intrinsik yang tidak ternilai. Oleh itu, pedang harus dibezakan dengan senjata-senjata lain yang dipakai oleh masyarakat pada ketika itu. Ciri-ciri utama pedang Melayu ialah ianya mempunyai bilah yang agak nipis jika dibandingkan dengan parang. Pedang juga harus mempunyai sarung untuk melindungi matanya yang tajam. Bilah pedang juga tidaklah seberat yang disangka. Pada lazimnya, sebilah pedang mempunyai jisim di antara 700 gram hingga 2 kg dan jarang lebih daripada itu. Bilah pedang Melayu pada kebiasaannya melebihi 23 inci panjang.
Hulu dan sarung pedang Melayu biasanya diperbuat daripada kayu yang berkualiti dan sering disalut dengan logam seperti perak dan tembaga yang ada kalanya diukir halus. Ada juga yang disalut dengan emas dan ditatah permata. Namun begitu, bukanlah aspek fizikal pedang itu yang menjadi nilaian. Jiwa sebilah pedang ialah bilahnya. Bahagian yang diperbuat daripada besi keluli yang ditempa oleh pandai besi yang mengadun dan membentuk seketul besi menjadi sebilah mata pedang yang tajam. Bilah ini kemudiannya diasah dan disepuh untuk menguatkannya, kemudian ia dipadankan dengan hulu yang sesuai. Maka lahirlah sebilah pedang yang hebat.