Dewan Budaya November 2021

Zahir Silat Mencari Kawan, Batin Silat Mencari Tuhan

Seni bermain pedang amat berkait rapat dengan dunia persilatan. Silat ialah ilmu perang orang Melayu sejak zaman berzaman. Kini, ia dikenali sebagai seni beladiri yang diamalkan di serata dunia oleh pelbagai bangsa, bukan sahaja orang Melayu. Silat mempunyai zahir dan batinnya. Di sinilah keistimewaan seni beladiri orang Melayu.

Apakah itu silat? Pengamal-pengamal seni ini memberikan pelbagai takrifan tentang silat. Dari sudut praktikalnya, silat ialah ilmu menggunakan dua tangan, dua kaki dan akal yang waras untuk mempertahankan diri. Ada juga yang mentakrifkan silat sebagai berasal daripada perkataan “si elat” iaitu orang yang pandai menggunakan muslihat untuk mengalahkan musuhnya. Takrifan ini membawa kepada prinsip “silat, silap, silau” yang membawa erti silat sebagai ilmu beladiri yang mengambil peluang di atas kesilapan lawan dan juga menggunakan kaedah “silau” atau muslihat untuk mengalahkan lawannya. Muslihat di sini tidak seharusnya dilihat dengan konotasi yang negatif, sebaliknya membawa maksud “helah peperangan” atau taktik.

Ada juga guru silat yang mengaitkan silat dengan silaturrahim, dan silat dengan solat. Takrifan ini lebih menggambarkan pengaruh kedatangan Islam ke Nusantara, di mana silat dikaitkan dengan agama. Kaedah di dalam Silat ibarat Aqidah di dalam Solat (yang mewakili Agama) merupakan salah satu perkaitan yang sering dinyatakan. Silaturrahim pula sebenarnya adalah amalan masyarakat Melayu sejak dahulukala. Adab dengan jiran tetangga, adab dengan tetamu telah diterapkan dalam masyarakat Melayu sebelum kedatangan Islam ke Nusantara lagi.

Silat pada masa kini dianggap sebagai satu seni beladiri, aktiviti rekreasi dan sukan yang bermanfaat. Namun begitu, pada asalnya silat ialah ilmu perang atau ilmu tempur yang pernah digunakan di medan peperangan untuk mempertahankan kawasan atau daerah masing-masing. Dengan peredaran zaman, silat terbentuk menjadi satu sistem yang lengkap dengan adat dan adabnya, dan ia mampu membentuk jatidiri seseorang individu. Sebelum zaman kolonial, setiap orang kanak-kanak lelaki Melayu mempelajari silat. Ada juga kanak-kanak perempuan yang dilatih dengan ilmu tempur ini. Pendek kata, setiap orang Melayu boleh bersilat. Ianya merupakan satu kemahiran yang perlu pada ketika itu.

Adat “pecah gelanggang” juga sering diamalkan suatu masa dahulu, di mana seorang guru silat yang baru membuka gelanggang di sebuah kampung akan dicabar oleh pendekar-pendekar setempat untuk menguji keberkesanan silat yang diajarnya. Sekiranya guru baru tersebut berjaya menumpaskan pencabarnya, maka silat itu akan dibenarkan untuk diajarkan di kampung tersebut. Lama-kelamaan, adat ini menjadi lebih kepada “permainan” di mana dua guru ini akan “bermain silat” atau “berpulut” dengan menggunakan gerakan-gerakan yang simbolik untuk mewakili serangan dan belaan sebenar. Tujuan asalnya adalah untuk mengelakkan kecederaan serius kepada kedua-dua pesilat dan untuk “meredakan” situasi supaya tidak terjadi pergaduhan yang boleh membawa maut. Seni berpulut ini juga menunjukkan ketinggian adab dan falsafah Melayu yang mana gerak langkah lawan boleh “dibaca” dan kita boleh tahu dan kenal siapa dia dan siapa gurunya melalui gerak langkah dan tarinya. Yang “memecah gelanggang” pula seharusnya bertaraf guru juga. Anak murid tidak boleh mencabar guru gelanggang lain kerana itu dianggap biadap dan kurang ajar. Di sinilah letaknya ketinggian peradaban dan keperibadian orang Melayu.

Silat juga menjadi wadah melanjutkan tali persahabatan antara dua guru dan dua perguruan. Di sinilah tegaknya cogan “Zahir Silat Mencari Kawan”. Walaupun pada asasnya silat adalah ilmu perang, namun pengamalnya tidak seharusnya menjadi gasar dan tidak beradab. Satu lagi pepatah di dalam silat ialah, “Belajar silat sampai tak gaduh”. Ada dua konteks di sini, iaitu belajar silat sehingga mahir dan “tak gaduh” atau tidak sukar untuk menewaskan lawan, dan juga belajar silat sehingga kita faham isinya dan tidak mahu menggunakan ilmu tempur itu untuk bergaduh. Konteks kedua inilah yang sukar dicapai namun ianya melambangkan pencapaian tertinggi di dalam ilmu persilatan. Segala perselisihan di selesaikan dengan aman tanpa perlu melibatkan tindakan agresif, sepertimana yang dianjurkan di dalam Islam. Untuk mencapai aras ini, pengamal persilatan perlulah mempunyai tahap kesabaran yang tinggi dan mampu mengawal dirinya serta nafsu amarahnya.

Seorang pesilat yang mencapai tahap ini akan mula nampak apa yang dikatakan sebagai “Batin Silat Mencari Tuhan”.

Sheikh Ibnu Atho’illah pernah menyebut, “Kenal dirimu rata-rata, baru kamu kenal Tuhan yang nyata”. Bagi sesetengah pengamal persilatan, silat adalah satu perjalanan atau wasilah untuk mengenal dirinya. Jika diperhatikan sejak zaman dahulu, kebanyakan guru-guru silat adalah juga ahli agama dan pendakwah. Tok Janggut, Mat Kilau, Tok Gajah, Haji Abdul Rahman Limbong dan Kiyai Salleh merupakan antara tokoh-tokoh persilatan yang juga ahli agama dan ulama. Bagi mereka yang menuntut ilmu persilatan dengan guru-guru seperti ini, ilmu agama turut diterapkan di dalam pembelajaran mereka. Hasilnya ialah para pendekar dan pengamal persilatan yang bukan sahaja handal bersilat tetapi juga faham hal-hal keagamaan.

Aspek spiritual silat inilah yang sering disalah ertikan oleh orang awam dan pihak yang tidak senang dengan peradaban Melayu. Batin di dalam silat bukanlah ilmu kebatinan yang melibatkan makhluk ghaib dan amalan-amalan khurafat serta syirik. Sebaliknya kebatinan dalam persilatan ialah ilmu mengenal diri dan dengan itu mengenal siapa Tuhan yang Maha Mencipta sekalian alam. Apabila seseorang pesilat itu mengenal dirinya secara total, maka seharusnya segala sifat ke”aku”an – sombong, bongkak, ego, sakit hati dan sebagainya – akan turut cair dan hilang dari dirinya. Hanya pada ketika itu, maka barulah pengamal silat boleh melihat alam dari kacamata yang berbeza dan harmoni.

Selagi mana wujudnya sifat-sifat mazmumah di dalam diri, seseorang itu hanya melihat silat pada kulitnya sahaja. Untuk mendalami isi silat, sifat-sifat ini perlu dikikis dan dibuang daripada diri. Guru yang murshid boleh membimbing muridnya di dalam mencapai pembersihan diri. Oleh kerana itu, adalah amat penting seseorang pesilat itu memilih gurunya dengan berhati-hati. Guru yang baik akan membimbingnya ke jalan yang baik, dan sebaliknya. Kita juga sering mendengar frasa “murid adalah cerminan guru”. Ini adalah amat benar, khususnya di dalam persilatan. Guru yang tiada sifat rendah diri, kasar, sombong dan tidak beradab akan melahirkan anak murid yang berkali-kali lebih teruk adab dan perangainya. Mereka ini langsung tidak menepati kata-kata, “Zahir silat mencari kawan, batin silat mencari Tuhan” dan inilah sebenarnya yang merosakkan imej dan maruah silat secara umum.

Secara idealnya, silat mampu membentuk fizikal dan sahsiah pengamalnya melalui latihan jasmani dan amalan spiritual. Namun begitu, guru silat memainkan peranan yang amat penting di dalam mendidik anak muridnya. Sifat rendah diri, hormat menghormati dan saling bantu-membantu sepatutnya ditanam didalam diri pengamal persilatan, tidak mengira perguruan dan taraf atau tahap pencapaian. Komuniti persilatan seharusnya bersatu di dalam membangunkan silat dan bersaing secara positif untuk memperkenalkan seni silat masing-masing ke persada dunia.