Dewan Budaya Mei 2021

Rukun Pemedang (1)

Sebagai seorang pemedang, terdapat prinsip atau falsafah tertentu yang perlu dipatuhi demi menjaga adab dan etika seorang yang menyandang pedang. Di dalam Seni Pedang Sukma Kencana, nilai-nilai ini dikenali sebagai Rukun Pemedang. Rukun Pemedang telah ini diilhamkan oleh Tuan Haji Rosdan Abdul Manan, Pendekar Gelanggang Nadi Serendah, dengan izin dan perkenan penulis sebagai Pengasas dan Guru Utama Seni Pedang Sukma Kencana. Rukun Pemedang ini terdiri daripada 10 perkara iaitu Aqidah, Setia, Tenang, Bijak, Pantas, Lancar, Kuat, Tepat, Tabah dan Sabar. Dalam makalah kali ini saya akan menyingkap makna dan pengertian di sebalik 10 Rukun Pemedang tersebut.

1. AQIDAH

Jazam Aqidah. Berserah. Percaya sepenuhnya bahawa Allah Azzawajalla ampunya segala gerak. Hidup mati di tanganNya. Tiada kekuatan melainkan dariNya semata. Tiada keakuan. Kita hanyalah sebab.

Pemedang seharusnya seorang yang jazam (yakni putus - tiada syak, dzan dan waham) aqidahnya. Maksudnya dia meyakini dengan sepenuhnya dan berpegang dengan teguh bahawa tiada yang lebih berkuasa melainkan ALLAH. Segala itu berlaku HANYA dengan kehendak dan izin Allah. Hidup dan matinya hanyalah dengan belas ikhsan Allah dan dia tiada suatu daya sedikitpun melainkan apa yang dikurniakan Allah kepadanya. Seorang pemedang wajib mempercayai dan beriman bahawa setiap gerak adalah dari Allah semata-mata. Setiap kali dia menghunus pedangnya hanyalah untuk mempertahankan maruah dan amanah yang diberikan Allah kepadanya. Dia tidak bergantung kepada makhluk sedikit pun, dan pedangnya hanyalah satu alat untuk membantunya menjalankan amanahNya.

Seorang pemedang perlu membuang ego dan sifat keakuan serta rasa lebih baik dari orang lain. Dia juga seharusnya seorang yang merendah diri, beradab, bersopan dan berhikmah, sesuai dengan kedudukannya sebagai hamba Allah dan bukan hamba makhluk. Aqidahnya tidak dapat digoyahkan, dia hanya takut kepada Allah.Di dalam berpedang, dia berserah kepada Allah. Tiada perasaan "aku hebat", "aku handal" dan sebagainya. Dia tidak akan mencabar, tetapi sebaliknya tidak akan berundur jika agama, bangsa dan tanahairnya dicabar. Inilah secara ringkas prinsip pertama pemedang: AQIDAH.

2. SETIA

Setia kepada Guru, kepada perguruan, kepada ilmu dan juga sesama ahli pemedang. Kerja berkumpulan. Setiakawan.

Kesetiaan merupakan satu elemen yang amat penting dalam apa-apa perjuangan. Seorang guru bukanlah insan yang paling sempurna, tetapi melalui gurulah kita menerima ilmu. Tanpa guru, ilmu itu tidak akan sampai kepada kita, dan jika kita derhaka kepada guru itu, maka hilanglah keberkatan ilmu yang kita terima darinya. Guru Utama, Mahaguru, Adiguru hanyalah gelaran kepada insan yang dipertanggungjawabkan untuk mendidik dan menyampaikan ilmu yang merupakan mandat yang perlu ditunaikan. Ilmu seorang guru mungkin diwarisi daripada guru yang sebelumnya, atau dari hasil kajiannya, atau dalam keadaan tertentu, anugerah cahaya ilham daripada Yang Maha Mengetahui. Orang yang faham akan tugas dan tanggungjawab ini seharusnya tidak sanggup untuk menerimanya. Tugas dan tanggungjawab guru bukanlah sesuatu yang mudah.

Guru dan perguruan tidak dapat dipisahkan. Tanpa guru, tiadalah perguruan. Perguruan ialah struktur pentadbiran yang membantu di dalam penyebaran ilmu melalui guru. Perguruan ialah badan yang diamanahkan untuk membantu guru di dalam menyebarkan ilmu. Perguruan juga berfungsi mengekalkan keaslian dan ketulenan sesuatu ilmu tersebut.

Kesetiaan kepada ilmu pula dapat dinyatakan sebagai amanah seorang penuntut atau murid untuk menjaga dan mengamalkan ilmu yang dipelajari dengan sebaik mungkin, tanpa mencampur-adukkan ilmu itu dengan yang tidak berkenaan. Seorang murid tugasnya belajar dan mengamalkan apa yang dipelajari. Bukan mengajar apa yang dipelajari tanpa khatam ilmu tersebut dan tanpa izin atau tauliah mengajar daripada gurunya. Ilmu yang dipelajari seharusnya digunakan untuk kebaikan demi kesejahteraan ummah dan bukan untuk kepentingan diri sendiri atau kelompok tertentu. Kesetiaan sesama ahli perguruan juga satu faktor yang penting kerana ahli yang tidak setia akan menyebabkan perpecahan di dalam perguruan. Lebih parah lagi, ahli yang berpaling tadah dan mengkhianati guru serta saudara seperguruannya. Tanpa kesetiaan sesama ahli, maka akan jatuhlah sesuatu organisasi.

3. SABAR

Sabar dalam hati dan dalam perbuatan

Kesabaran merupakan elemen yang paling penting dan menjadi tunggak kepada keimanan seseorang Muslim. Sebagai seorang yang beriman, pemedang seharusnya faham dan berpegang kepada konsep segalanya itu hanya berlaku dengan izin dan kehendak Allah. Oleh itu, kesabaran amat penting di dalam menyedari bahawa segala apa yang berlaku bukanlah berlaku disebabkan oleh kuasa makhluk. Tanpa sabar, taqwa dan redha tidak dapat dicapai. Sebab itu sabar merupakan sebagian daripada cabang-cabang keimanan. Sebagai pemedang, sabar menghadapi apa jua dugaan dan cabaran adalah kunci kepada kemenangan. Beliau tidak akan sewenang-wenangnya mencabut pedang dari sarungnya. Bersabar dan buat penilaian terperinci supaya tidak silap langkah.

Sabar di dalam hati bererti menahan diri daripada mempunyai prasangka yang tidak baik terhadap seseorang atau sesuatu keadaan atau kejadian. Ini adalah kerana sabar itu berpunca dari dalam diri seseorang itu dan dimanifestasikan kepada alam fizikal melalui perbuatan dan perkataan seseorang. Di sinilah juga aplikasi rukun qalbi, qauli dan fiqli di dalam solat dapat dipraktikkan di dalam berpedang. Sabar, seperti ikhlas, timbul dari hati yang bersih, seterusnya berputik di lidah dan bercambah dengan perbuatan. Sabar juga membawa kepada rukun pemedang yang seterusnya iaitu Tenang.

4. TENANG

Hati tenang pandangan menjadi jelas. Pemikiran lapang dalam merancang. Sentiasa bersedia.

Ketenangan merupakan elemen penting dalam kehidupan manusia. Agama Islam turut menganjurkan ketenangan. Banyak cara digunakan oleh manusia untuk mencapai ketenangan, di antaranya membaca buku, bertafakkur, bersatu dengan alam semulajadi, mendengar alunan muzik dan membelai haiwan kesayangan. Secara biologi, perembesan hormon-hormon endorfin seperti oxytocin akan menggalakkan ketenangan. Bagi seorang pemedang, ketenangan dapat dicapai apabila beliau dapat bersatu dengan pedangnya. Mengenali, merasai, menjiwai, memahami setiap lenggok dan liuk pedangnya untuk mencapai harmoni. Pedang itu sebahagian daripada dirinya, sebahagian daripada tangannya.

Seorang pemedang seharusnya tenang dalam apa sahaja urusan. Hati yang tenang membolehkan kita membuat keputusan yang tepat dan mengambil tindakan yang sewajarnya, tidak mengikut emosi. Ikut rasa, binasa. Ikut hati mati. Ikut nafsu, lesu. Oleh sebab itu, kita seharusnya belajar mengawal hati dan sentiasa berada dalam keadaan tenang atau "zen". Dalam ertikata lain, khusyu'. Khusyu' ini bukan sahaja penting di dalam solat, tetapi juga di dalam seni berpedang. Pemedang yang tenang dan tidak gopoh akan mampu "membaca" gerak lawan.

Orang yang jiwanya tidak tenang akan sentiasa mencari salah dan menyalahkan orang lain atas segala apa yang menimpa dirinya. Tanpa menyedari atau memahami bahawa segala sesuatu itu berlaku hanya dengan izin dan kehendak ALLAH. Tanpa menyedari bahawa Allah sedang membimbingnya untuk kembali kepada Jalan Yang Benar. Sebagai pemedang, kita seharusnya faham bahawa tiada teknik terbaik, tiada pedang terbaik, tiada sistem yang terbaik. Segalanya adalah makhluk yang tidak akan ada sempurnanya jika dibandingkan dengan Yang Khaliq. Fahami konsep ini, insyaaAllah TENANG akan dicapai.

5. BIJAK

Bijak adalah kunci segala isi. Bijak merancang. Menjangka detik. Memilih gerak. Membaca lawan.

Bijak dan berilmu adalah dua perkara yang berbeza, namun saling bersangkutan antara satu sama lain. Ilmu tanpa kebijaksanaan akan melahirkan individu yang ujub dengan ilmunya. Seorang yang tiada adab dan akhlak kerana orang yang berilmu tetapi tidak bijak akan membuat pelbagai perkara berlandaskan ilmunya tetapi tanpa akhlak dan adab. Orang berilmu yang tidak bijak juga mudah ditipu dan diperdayakan. Ilmunya akan dipergunakan oleh orang lain dan dia akan sentiasa berada dalam kerugian.

Orang bijak tetapi tidak berilmu pula cenderung untuk menjadi penipu dan menggunakan orang lain untuk kepentingannya. Dia mampu membuat orang lain percaya apa sahaja yang dilafazkannya. Namun begitu, orang yang bijak tetapi tidak berilmu ini akan kalah apabila bertemu dengan orang yang berilmu. Dia tidak boleh menidakkan keilmuan seseorang itu yang disokong oleh fakta dan kebenaran. Pembohongannya juga akan terbongkar suatu masa nanti. Orang yang bijak dan berilmu adalah insan yang seimbang. Seorang pemedang perlulah bijak dan berilmu. Ilmu pedang yang telah dipelajari perlu diseimbangkan dengan kebijaksanaan di dalam mengaplikasikan ilmu perang tersebut. Bijak dalam membuat keputusan yang sebaiknya dalam masa sedetik. Seorang pemedang akan berfikir 100 kali sebelum mencabut pedangnya. Dia juga perlu memahami konsep “100-1” seperti yang disebut di dalam kitab Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah. Segala kemungkinan perlu difikirkan dan diambil kira di dalam membuat sesuatu keputusan. Setelah pedang dicabut, maka pasti akan ada yang tercedera atau melayang nyawa.

Pemedang perlu bijak menilai lawannya. Membaca siapa lawannya melalui body language dan senjata yang dipakainya. Membaca gerak lawannya, mengagak tindakan yang bakal dibuat lawannya.Seorang pemedang perlu bijak membuat keputusan. Dia perlu memahami bahawa pedangnya ialah amanahnya dan ilmu pedang itu seharusnya hanya digunakan untuk kebaikan dan keadilan, untuk mempertahankan agama, bangsa dan tanahair, bukan untuk membalas dendam dan menceroboh.

Bersambung…