Dewan Budaya Mac 2021

Seni Pedang Sukma Kencana Tarekat Pedang

Sekitar 300 tahun yang lalu, seorang bangsawan Turki yang dikenali dengan nama Effendi telah tiba di Sumatera. Beliau membawa bersama beliau seni pedang yang diwarisi daripada nenek moyang beliau yang dikatakan bersusur galur dari Tanah Arab. Dalam tahun 1880an, piut beliau yang bernama Sheikh Abdul Latif Al Khalidi daripada Nagari Talu, Sumatera telah berhijrah ke Tanah Melayu bersama-sama anakanda beliau Haji Muhammad Salleh. Mereka telah berkampung di Piandang, Perak, di mana terdapat penempatan masyarakat Talu di sana. Daripada Piandang, mereka menjelajah ke seluruh Tanah Melayu menyampaikan ajaran Islam. Sheikh Abdul Latif pernah berdakwah bersama saudara beliau Sheikh Ismail Naqsyabandi di Hulu Bernam, yang pada ketika itu masih di dalam negeri Perak. Hajjah Rafeah, anakanda kepada Sheikh Abdul Latif juga tinggal di Hulu Bernam dan suami beliau Haji Shafie merupakan imam dan siak di Masjid Sheikh Ismail. Haji Shafie juga dikenali sebagai Nek Subuh dan bergelar pendekar. Sheikh Ismail merupakan besan kepada Tun Haji Mustafa Raja Kamala iaitu Penghulu pertama Tanjong Malim. Sheikh Abdul Latif telah dimakamkan di Ulu Yam, tetapi pusara beliau terpaksa disembunyikan untuk mengelakkan perbuatan khurafat kerana penduduk setempat menganggap beliau sebagai seorang wali. Haji Muhammad Salleh pula dijemput oleh Kerabat Rembau untuk mengajar agama di sana, di mana telah dibinakan sebuah surau untuk beliau mengajar. Selepas itu, beliau dijemput pula oleh Istana Johor, dan akhirnya beliau kembali ke Rahmatullah dan dimakamkan di Endau, Johor pada tahun 1952.

Penulis merupakan cicit kepada Haji Muhammad Salleh (sebelah datuk) dan Hajjah Rafeah (sebelah nenek). Penulis juga merupakan waris terakhir seni pedang keturunan Almarhum Effendi yang kini diberi nama Seni Pedang Sukma Kencana. Penulis sebenarnya tidak asing kepada dunia persilatan, dan telah terlibat secara aktif dengan silat dan memanah sejak tahun 1990an. Minat penulis amat mendalam terhadap senjata warisan khususnya pedang, panah dan keris, dan penulis telah menerima ilmu ini secara tidak formal sejak dari kecil lagi, selain banyak membuat pembacaan dan rujukan dalam bidang ini. Penulis pernah belajar dan mengajar Seni Silat Cekak Malaysia di bawah pimpinan Almarhum Ustaz Haji Ishak Itam, dan pernah terlibat dengan beberapa perguruan seni beladiri Melayu dan bukan Melayu. Selain itu, penulis merupakan seorang pengkaji senjata khususnya pedang dan baju perisai, dan turut merekabentuk dan menempa pedang, khasnya pedang jenawi.

Pada tahun 2016, ketika berusia 40 tahun, penulis telah mula mengkaji semula dan menyusun silibus untuk seni pedang Melayu warisan keturunan Almarhum Effendi. Pedang jenawi sukma juga telah dilahirkan hasil daripada kajian dan inovasi penulis terhadap pedang jenawi yang asal. Bengkel pertama pengenalan seni pedang ini telah dijalankan di Hang Tuah Center, Kampung Duyung, Melaka dengan kerjasama Dr R.A. Huzaifah dari PERANTARA pada tahun 2018. Penulis kemudiannya telah menyampaikan kertas kerja mengenai Seni Sukma Kencana di Seminar Serantau Persenjataan dan Pertahanan Dalam Sastera dan Sains Warisan serta Seminar Falsafah dan Tamadun (SEFATA) anjuran Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang pada tahun yang sama. Bengkel kedua telah dijalankan di Sarang Art Hub, Tanjong Malim dengan kerjasama sutradara tersohor, tuan Mamat Khalid.

Kelas pertama telah diadakan di Puncak Alam, Selangor. Pada tahun 2019, kelas kedua telah dibuka di Nadi Archery di Serendah, Selangor di bawah pimpinan Pendekar Hj Rosdan dan Gelanggang Sri Muallim pula dimasyhurkan pada tahun 2020 di Kalumpang, Selangor, di bawah seliaan penulis sendiri. Terkini, Seni Pedang Sukma Kencana bergerak di bawah Nara Martial Arts Academy setelah gelanggang di Puncak Alam dipindahkan ke Kalumpang. Penulis juga sedang bekerjasama dengan pakar beladiri antarabangsa, Prof Jak Othman, di dalam mengembangkan seni ini ke luar negara. Pengasas PEKERIS, YM Tengku Ahmad Ridhaudin, juga banyak memberi pendapat dan maklumbalas di dalam membangunkan seni pedang ini. Penulis mendapat bantuan dan sokongan tokoh-tokoh akademik negara, di antaranya Dato Prof Awang Sariyan, Dato Sri Prof Md Salleh Yaapar, Prof Madya Hasnul J Saidon, Prof Madya Dr Muhammad Pauzi Abdul Latif dan Dr Khamis Mohamad. Prof Hasnul turut mempelajari seni pedang ini. Penulis turut menjadi salah seorang penyumbang kepada terdaftarnya istilah “pemedang” di dalam Kamus Dewan edisi terkini.

Seni Sukma Kencana dinamakan semula sebagai Seni Pedang Sukma Kencana pada tahun 2020 untuk memberi penekanan kepada seni permainan pedang. Pada awalnya, seni ini dibahagikan kepada 7 seni iaitu pedang, sundang, keris, tumbuk lada, tombak, panah dan tangan kosong. Namun begitu, sistem pembelajaran ini telah dirombak semula dan kini hanya menumpukan kepada seni permainan pedang. Seni permainan senjata lain dikeluarkan daripada silibus dan dijadikan sebagai pelajaran tambahan kepada penuntut yang berminat. Seni pedang ini menekankan kepada pertahanan dan membela diri daripada serangan musuh. Ini adalah bersesuaian dengan konsep Islam yang berteraskan keamanan dan kesejahteraan.

Konsep utama di dalam seni pedang ini bersandarkan kepada pepatah, “membujur lalu, melintang patah”. Serangan musuh tidak ditangkis (konsep melintang) sebaliknya disambut (konsep membujur) seterusnya daya serangan itu ditumpang dan kemudian disalin. Dalam ertikata lain, daya serangan pihak lawan digunakan atau dialirkan semula kepadanya. Konsep ini adalah bersesuaian dengan prinsip fizik mengenai daya, inersia dan keabadian tenaga. Pedang sebagai senjata yang mempunyai bilah yang agak nipis dan panjang lebih sesuai untuk menyambut serangan dengan menggunakan belakang dan sisi bilah daripada menangkis serangan dengan mata bilah. Penuntut akan diperkenalkan dengan seni permainan pedang bermula dengan adab dan adat berpedang, bagaimana untuk mengendalikan pedang dan pantang larang ketika berpedang. Seterusnya, kaedah asas serangan pedang akan dipelajari, merangkumi genggaman hulu yang betul, penggunaan tujuh sendi dan penjajaran mata bilah. Walaupun Seni Pedang Sukma Kencana menekankan kepada pertahanan, kaedah serangan yang betul adalah penting untuk melatih kaedah menyambut serangan dengan berkesan. Kaedah serangan juga akan diaplikasikan di dalam fasa “salin”, di mana pemedang akan “memakan” lawannya selepas serangan itu disambut.

Prinsip utama di dalam seni permainan pedang ini ialah pengaliran daya dan tenaga. Aliran atau flow ini amat penting supaya pemedang dapat mengatasi lawannya dengan menggunakan pergerakan yang minima, dan dengan itu juga penggunaan tenaga yang kurang. Ini adalah penting di dalam situasi pertempuran, khasnya apabila pemedang itu perlu menghadapi lebih daripada seorang lawan, dan beliau turut memakai pakaian perlindungan yang berat, serta situasi yang mendorong perembesan hormon adrenalin yang berlebihan. Teknik menyambut serangan di dalam Seni Pedang Sukma Kencana dikenali sebagai Kaedah Ahmad. Kaedah Ahmad ini terdiri daripada empat kaedah yang berbeza, iaitu Kaedah Alif, Kaedah Ha, Kaedah Mim dan Kaedah Dal. Setiap kaedah ini melindungi ¼ daripada tubuh pemedang, dan kombinasi keempat-empat kaedah ini membentuk perlindungan yang menyeluruh kepada pemedang. Kajian secara saintifik menggunakan kaedah motion capture juga sedang dijalankan. Kaedah-kaedah ini juga telah disesuaikan dengan senjata utama Seni Pedang Sukma Kencana, iaitu pedang jenawi sukma.

Pedang jenawi sukma merupakan evolusi daripada pedang jenawi yang asal. Pedang jenawi adalah senjata para bangsawan dan kerabat Di Raja Melayu dahulu. Ianya digunakan oleh para panglima terpilih yang paling rapat dengan Raja atau Sultan, dan juga oleh Raja atau Sultan itu sendiri, seperti yang tertulis di dalam Sejarah Melayu, Hikayat Malim Deman dan Syair Siti Zubaidah Perang China. Pedang jenawi juga terdapat di dalam regalia Yang Di Pertuan Agong Malaysia dan kebanyakan negeri-negeri yang mempunyai Sultan. Penggunaan pedang ini mungkin telah diamalkan sebelum Sheikh Abdul Latif berhijrah ke Tanah Melayu lagi, kerana ianya juga turut terdapat di Sumatera, khasnya di Riau. Kajian penulis juga mendapati bahawa rekabentuk pedang jenawi ini tersebar luas daripada kawasan Nusantara sehingga ke Hokkaido.

Selain mengasah kemahiran berpedang, Seni Pedang Sukma Kencana turut mendidik penuntutnya supaya memahami dan mengamalkan adab dan adat Melayu Islam di dalam kehidupan harian. Mereka diterapkan dengan 10 Rukun Pemedang iaitu Aqidah, Setia, Tenang, Bijak, Pantas, Lancar, Kuat, Tepat, Tabah dan Sabar. Aspek keseimbangan dan simetri amat dititik beratkan di dalam Sukma Kencana dan ini dikiaskan di dalam lambang Sukma Kencana dan Nara Martial Arts Academy. Ia turut melambangkan kesederhanaan kerana keseimbangan bermaksud tidak berat ke satu arah tertentu, yang akan mendorong kepada ketaksuban terhadap sesuatu perkara. Warna-warna yang digunakan di dalam lambang yang baru juga adalah warna-warna “Melayu” iaitu putih, merah dan hitam yang melambangkan agama, bangsa dan tanahair dan kuning yang melambangkan Kedaulatan Raja-raja Melayu.