Dewan Budaya Jun 2021
Rukun Pemedang (2)
Di dalam makalah yang lepas, kita telah membincangkan lima daripada sepuluh Rukun Pemedang yang menjadi tunggak serta pegangan seorang pemedang. Di dalam bahagian kedua ini, kita akan membincangkan lima lagi Rukun Pemedang ini.
6. PANTAS
Gerakan sepantas kilat. Makan gerak dan makan dalam gerak.
Kepantasan amat penting di dalam permainan pedang. Pedang direka sebagai senjata yang pantas dan tangkas, bukan berat dan perlahan. Sesuai dengan itu, pemedang juga perlulah seorang yang pantas dan tangkas. Pantas untuk memakan gerak musuh untuk melumpuhkannya sebelum serangannya dapat dilengkapkan. Pantas menyambut serangan sambil menumpang daya lawan dan menyalin daya, memakan lawan dalam gerak. Lawan dapat dineutralkan sebelum dia menyedarinya. Namun, kepantasan seorang pemedang ialah kepantasan yang berseni. Bukan kepantasan membabi buta, tanpa arah tujuan. Kepantasan seorang pemedang ialah kepantasan terarah dan mempunyai tujuan. Kepantasan yang bersasaran dan mempunyai objektif. Kepantasan seorang pemedang bukan bergantung kepada akalnya semata, tetapi terbit dari hati dan rohnya. Seni pedang adalah Seni Iman. Kepantasan yang ulung adalah yang berpandukan hati yang tenang dan roh yang beriman. Iman itu anugerah Allah dan tidak boleh dibeli atau diwarisi dari sesiapa. Berbalik kepada prinsip pemedang yang pertama iaitu Aqidah. Kebergantungan hanya kepada Allah dan bukan makhlukNya. Berserah kepada Allah secara total dan menyeluruh. Seorang pemedang seharusnya tulus ikhlas di dalam mempelajari dan mengamalkan ilmunya sehingga ia sebati dengannya, setia kepada Guru dan ilmunya. Pada ketika itu, kepantasan yang hakiki akan dapat dicapai dengan izinNya. Kepantasan di dalam konteks ini juga membawa erti kepantasan membuat keputusan di dalam keadaan yang tertekan dan situasi yang mencabar. Pantas dalam membuat keputusan yang mungkin menentukan hidup atau mati.
7. LANCAR
Lancar seperti angin. Kuat tetapi lembut. Hadir tanpa dilihat. Berubah tanpa dijangka.
Angin yang lembut mendinginkan dan menyamankan. Namun angin yang sama, tika bertiup kencang boleh membinasakan. Angin merupakan salah satu kuasa alam yang tidak dapat diduga mahupun dilihat. Hanya kesannya dapat dirasai. Angin lancar dan tidak tersekat-sekat. Angin mempunyai alirannya sendiri dan tidak dapat dibendung.
Seorang pemedang seharusnya bergerak lancar seperti angin. Kuat tetapi lembut, ibarat pepatah membujur lalu, melintang patah. Kelancaran itu akan membantu memantaskan lagi gerak pemedang. Kelancaran juga berkait rapat dengan flow atau aliran tenaga.
8. KUAT
Hadir kekuatan dalam gerakan. Dalam perancangan, dalam pemikiran dan dalam jiwa.
Kuat di sini bukan sahaja merujuk kepada kekuatan fizikal tetapi kekuatan mental dan spiritual. Seorang pemedang perlu kuat dalam pemikiran dan dalam jiwa. Beliau perlu cekap dan pantas membuat keputusan di dalam keadaan yang cemas. Kekuatan jiwa dan pemikiran juga merujuk kepada kecekapan merancang dan melaksanakan perancangan tersebut. Gerakan fizikal dalam seni berpedang mampu menguatkan akal dan jiwa serta daya penumpuan atau fokus. Secara tidak langsung, seni berpedang boleh membantu pemedang untuk khusyu’ di dalam apa jua aktiviti yang mereka lakukan. Kekuatan muncul daripada hati yang tulus ikhlas meletakkan kebergantungan kepada Tuhan Yang Maha Esa.
9. TEPAT
Sentiasa tepat pada sasaran. Walau apa pun sasarannya.
Ketepatan amat penting bagi seorang pemedang kerana ia mungkin bermaksud hidup atau mati. Menyambut dan menyalin serangan pada waktu dan kedudukan yang tepat. Tepat mengenai sasaran sama ada pada pergelangan tangan, lengan, siku, leher, perut dan sebagainya. Jajaran mata atau edge alignment yang tepat perlu untuk melakukan hiris pancung atau pemotongan yang baik. Ketepatan sasaran juga menentukan sama ada musuh mengalami kecederaan serius atau sekadar untuk melumpuhkan pergerakannya. Ketepatan langkah dan gerak penting untuk memastikan mata pedang sampai ke sasarannya. Jangkaan masa dan kedudukan perlu tepat keduanya, jika salah satu tidak tepat, maka bahaya akan menimpa. Tepat, pantas, lancar dan kuat perlu seiring dan segerak untuk memberikan kesan yang efektif.
10. TABAH
Tabah menghadapi apa jua rintangan. Tabah belajar, tabah berlatih.
Ketabahan perlu untuk menjayakan apa jenis usaha sekalipun. Tanpa ketabahan, usaha kita akan terhenti di tengah jalan dan kita akan mengalah kepada keadaan. Islam tidak membenarkan umatnya untuk lari atau berundur dari peperangan kecuali atas alasan helah pertempuran. Ini menunjukkan betapa ketabahan perlu untuk membentuk roh dan jiwa seseorang muslim itu. Sifat tabah juga perlu selari dengan sabar dan tenang. Tabah, sabar dan tenang serta pegangan aqidah yang kukuh adalah kunci kepada kejayaan insan, khasnya seorang pemedang.
Jika dilihat kepada kesepuluh rukun ini, tiga rukun yang pertama adalah berkait dengan Pegangan. Aqidah, Setia dan Sabar merupakan tiga elemen yang terpenting yang perlu ditanam di dalam diri seorang pemedang. Tujuh lagi rukun yang telah dinyatakan di atas adalah terkait dengan perbuatan dan tindakan. Di sini, adalah penting seorang pemedang itu faham serta mengamalkan rukun-rukun ini bermula dari hati (aqidah, setia dan sabar) sehingga tindakan (tenang dan bijak) dan perbuatan (pantas, lancar, kuat, tepat dan tabah). Begitulah serba sedikit penjelasan mengenai 10 Rukun Pemedang yang harus difahami dan diamalkan oleh seorang pemedang demi menjadi seorang insan yang bertanggungjawab, mempunyai sifat ihsan dan amanah.