Dewan Budaya Julai 2021
Batin Pedang: Satu kupasan falsafah
“Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih kepada Allah dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya…”
Begitulah petikan daripada ayat 44 surah Al-Israa yang telah diwahyukan oleh Allah kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ di dalam kitab suci Al-Quran. Ayat ini menggambarkan bahawa setiap yang ada di alam ini senantiasa bertasbih kepada Allah, walaupun manusia tidak memahaminya. Langit dan bumi serta segala yang terkandung di dalamnya adalah makhluk ciptaan Allah. Ini termasuklah segala unsur seperti tanah, air, api, angin dan besi.
Sebilah pedang ditempa daripada hasil bumi yang terdiri daripada unsur organik dan bukan organik. Setiap unsur ini terdiri daripada molekul dan atom serta partikel sub-atomik yang bergetar (berzikir) pada tempat masing-masing. Getaran pada aras kuantum ini menghasilkan gelombang yang tersebar luas ke dalam alam semesta. Inilah jaringan tenaga yang menghubungkan sekalian makhluk antara satu sama lain, dan inilah juga “tali” yang menghubungkan makhluk dengan Penciptanya. Oleh itu, walaupun sebilah pedang adalah objek yang tidak hidup di mata kasar kita, hakikatnya ianya adalah makhluk yang “hidup” dan boleh berkomunikasi dan bertindakbalas dengan pemiliknya, sekiranya pemilik pedang itu peka dan faham akan hakikat kejadian makhluk, dan telah melalui “jalan” atau “tariq” yang sepatutnya.
Aspek batin atau spiritual inilah yang sering diabaikan oleh kebanyakan mereka yang menyimpan dan menggunakan pedang. Bila saya menyebut “batin” atau “spiritual”, mungkin ada yang akan terus beranggapan bahawa apa yang saya hendak sampaikan ini adalah syirik atau khurafat dan menyimpang daripada ajaran Islam. Batin atau spiritual di sini bukanlah merujuk kepada aktiviti pemujaan yang berkaitan dengan makhluk ghaib atau jin. Namun begitu, ada juga yang menyimpang dan terjerumus ke dalam kancah ini akibat daripada kekurangan ilmu dan tidak berguru dengan ahli di dalam bidang ini. Harus difahamkan bahawa batin dan kebatinan adalah dua perkara yang berbeza. Batin merujuk kepada aspek dalaman yang terdapat pada semua makhluk; yakni jika ada yang zahir (fizikal/syariat) maka haruslah ada yang batin (spiritual/hakikat). Kebatinan pula merujuk kepada ilmu ghaib yang membolehkan manusia melakukan perkara-perkara yang mencarik adat dengan bantuan makhluk ghaib.
Rukun Pemedang telah diilhamkan dan digarap sebegitu rupa untuk membantu pemedang memahami tugas dan tanggungjawab mereka sebagai manusia yang berintegriti dan mampu memikul amanah serta tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi ini. Pedang adalah simbol tanggungjawab membela agama, bangsa dan tanahair. Maka tidak hairanlah ada individu yang tidak “mampu” memiliki sebilah pedang yang asli. Saya bukan bermaksud kemampuan material tetapi kemampuan dari segi persiapan mental dan spiritual untuk menerima amanah dan tanggungjawab sebagai seorang pemedang. Rukun Pemedang adalah panduan yang harus diikuti oleh seseorang yang sanggup menerima amanah dan tanggungjawab ini.
Seorang pemedang perlu “memahami” dan “mengenali” pedangnya sepertimana dia memahami dan mengenali pasangannya. Setiap pedang itu berbeza dan mempunyai “roh” atau personaliti yang tersendiri. Pedang yang dihasilkan sebagai senjata perlulah dibezakan daripada pedang untuk latihan dan hiasan. Selain daripada memahami aspek fizikal penghasilan sebilah pedang seperti ukuran pemakai, berat, imbangan, jenis besi, jenis kayu, profil bilah dan kaedah sepuhan, seorang penempa pedang juga perlu mempunyai ilmu dan faham akan pengisian spiritual sebilah pedang. Sebilah pedang yang tiada pengisian hanyalah ibarat sebatang besi yang diasah tajam. Tanpa elemen spiritual ini, sebilah pedang hanyalah sebatang besi “mati”.
Penempaan pedang ini bermula dengan niat pemedang, yang kemudian menyampaikan hajatnya kepada pandai besi atau empu yang akan menghasilkan pedang tersebut. Proses ini bermula daripada rekabentuk, ukuran, bahan-bahan mentah sehinggalah kaedah penghasilan dan “pengisian” sebilah pedang itu. Seorang pandai besi atau empu yang mahir dan memahami proses penempaan sebilah pedang seharusnya mempunyai petua atau amalan untuk memantapkan “batin” pedang itu. Pengisian di sini bermaksud zikir-zikir dan wirid-wirid serta ayat-ayat tertentu yang dibaca sebelum, semasa dan selepas menyiapkan sebilah pedang itu sebagai satu doa yang dipanjatkan ke hadrat Allah untuk memohon keberkatan, dan bukanlah jampi serapah bertujuan untuk menyeru kehadiran makhluk ghaib supaya berdamping dengan senjata tersebut dan pemiliknya.
Sebilah pedang bukanlah sekadar alat, tetapi senjata dan juga teman karib seorang pemedang. Sebilah pedang yang menjadi senjata peribadi seorang pemedang seharusnya dijaga dengan teliti, dan berada di sisinya setiap masa. Seorang pemedang yang terlatih dan telah “menyatu” dengan pedangnya akan dapat “merasa” dan “berkomunikasi” dengan pedang itu. Seorang samurai Jepun begitu menghormati dan menjaga pedangnya kerana pedang itu adalah ibarat nyawanya. Apa yang berlaku di sini sebenarnya adalah “synchronicity” atau keselarasan kuantum di antara zarah-zarah pemedang dan zarah-zarah pedangnya. Pedang dan pemedang ibarat satu entiti yang tidak dapat dipisahkan. Tiada kena-mengena dengan jin atau makhluk halus yang berdamping.
Jaringan kuantum inilah yang menghubungkan kita dengan alam semesta dan Yang Maha Mencipta. Segala yang terlintas di hati adalah doa, dan zikir munajat kita didengari dan disambut oleh alam semesta. Semua ini membentuk satu ekosistem yang harmoni dan seimbang. Di dalam keseimbangan inilah seorang pemedang boleh “berkomunikasi” dengan pedangnya. Kerana itulah salah satu Rukun Pemedang menekankan “Tenang”. Ketenangan berpunca di hati dan di dalam ketenangan itulah seorang pemedang akan dapat merasa jaringan hubungan antara dirinya dengan segala yang ada di sekitarnya. Keselaransan kuantum inilah yang membolehkan seorang pemedang “membaca” gerak langkah lawannya dan merancang tindakan sebelum lawannya bertindak (dikenali sebagai “makan gerak”) lalu mengakhirkan konflik sebelum ianya bermula. Dengan itu, keseimbangan atau ketenangan dapat dikekalkan.
Itulah matlamat seorang pemedang mendalami ilmu berpedang. Berpedang bukan untuk membunuh atau memusnahkan, tetapi sebaliknya untuk mencapai kedamaian dan keamanan, demi keselamatan jiwa dan ketenangan raga. Keamanan adalah salah satu tuntutan di dalam Islam, dan seorang pemedang hanya boleh mencabut pedangnya untuk menegakkan keadilan, bukan kerana nafsu amarah. Setiap langkah, setiap gerak seorang pemedang diiringi zikir dan tasbih ke hadrat Allah. Seorang pemedang tidak boleh kalah kepada nafsu dan bertindak di luar kawalan. Setiap gerak yang dilakukan perlulah tepat, pantas dan bermakna, dan keadaan ini hanya dapat dicapai jika seorang pemedang itu berada di dalam ketenangan atau dalam bahasa syariatnya khusyuk. Dalam ertikata lain, berpedang juga mengajar penuntutnya untuk fokus dah khusyuk di dalam apa sahaja pekerjaannya. Tidak mudah terpesong dan tidak mudah beralih daripada landasan yang asal.