Dewan Budaya Januari 2022
Pedang Sebagai Manifestasi Kesatuan dan Penyatuan
Kebaikan terdapat pada pedang, kebaikan bersama pedang dan kebaikan dengan pedang
Begitulah sabda junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ berkenaan pedang. Ini menunjukkan bahawa betapa pentingnya pedang di dalam hidup seorang Muslim. Pedang bukan sekadar senjata, tetapi ia juga dikatakan membawa kebaikan kepada pemiliknya.
Rasulullah ﷺ juga pernah bersabda bahawa “syurga di bawah naungan pedang” dan menganjurkan bahawa umat Islam mengajar anak-anak mereka berpedang. Namun begitu, Islam bukanlah agama pedang. Pernyataan bahawa “Islam tersebar dengan pedang” adalah tidak berasas sama sekali dan berpunca daripada salah faham sesetengah pihak terhadap Islam. Islam tidak memaksa mana-mana kaum untuk menerima aqidah dan ajarannya, sebaliknya mengangkat senjata demi untuk memelihara kebebasan beragama. Pedang merupakan senjata yang sering digunakan oleh para pendakwah untuk mempertahankan diri mereka di dalam menyebarkan ajaran dan aqidah Islam.
Selain daripada itu, pedang juga merupakan lambang kesatuan dan penyatuan ummah. Rekabentuk pedang itu sendiri melambangkan penyatuan beberapa elemen visual yang menjadi manifestasi kesatuan antara yang zahir dan yang batin. Penulis telah mengkaji rekabentuk beberapa bilah pedang daripada zaman Rasulullah ﷺ dan mendapati beberapa ciri fizikal yang juga mempunyai signifikan dari segi falsafah tauhid. Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa pedang di zaman Rasulullah ﷺ dah para sahabat mempunyai bilah yang lurus dan bermata dua, bukannya bilah melengkung seperti yang sering digambarkan sebagai “pedang Arab”. Pedang jenis ini dikenali juga dengan nama saif. Menurut maklumat yang diperolehi, bilah pedang jenis ini berukuran sekitar 30 ke 36 inci, dengan jisim pedang sekitar 800 ke 1,600 gram. Hulunya yang berukuran di antara 5 hingga 6 inci sesuai untuk genggaman sebelah tangan. Sangga yang berbentuk lurus ada kalanya disamakan dengan bentuk salib, tetapi sebenarnya ia adalah berbentuk bintang.
Sebilah pedang terhasil daripada hubungan dua pihak iaitu pemedang dan tukang atau empu. Empu boleh diibaratkan sebagai pemegang amanah, manakala pemedang adalah orang yang menunaikan amanah tersebut. Oleh kerana itu, setiap bilah pedang dibuat khusus untuk pemiliknya. Empu yang mempunyai hikmah akan tahu keperluan pemedang yang menempah pedang darinya, dan akan tahu keserasian pedang tersebut dengan tuannya. Jika keseimbangan ini tidak tercapai, maka pedang itu tidak boleh diserahkan kepada bakal pemiliknya kerana dikhuatiri akan berlaku kecelakaan akibat ketiadaan “keseimbangan” dan “harmoni” di antara empu dan pemedang.
Di dalam kosmologi Islam, elemen-elemen pada sebilah pedang saif boleh dikaitkan dengan prinsip-prinsip dan falsafah keTuhanan yang terdapat di dalam Rukun Iman. Bermula daripada simetri sebilah pedang itu sendiri – simetri membawa erti keseimbangan. Keseimbangan di sini bermaksud keseimbangan dari segi rohani dan jasmani, mental dan fizikal. Keseimbangan amat penting untuk mencapai keharmonian. Seorang pemedang seharusnya bukanlah seorang yang tidak stabil. Pedang di tangannya bermaksud beliau seorang yang berpegang kepada tali Allah (hulu pedang). Sangga pedang yang berbentuk bintang itu merupakan penghubung visual kepada hulu dan bilah pedang, sepertimana Rasulullah ﷺ adalah penghubung antara Allah dan umatnya. Jika hulu pedang mewakili Khaliq atau Sang Pencipta, maka bilahnya pula mewakili 4 lagi elemen di dalam Rukun Iman iaitu beriman kepada para malaikat, kitab-kitab suci, hari pengakhiran serta qada’ dan qadar. Sebilah pedang itu dapat dibaca sebagai 6 Rukun Iman.
Mengikut ukurannya, sebilah pedang saif akan mempunyai nisbah 1:5 iaitu bilahnya adalah 5 kali ganda hulunya. Hulu adalah pemegang dan melambangkan pegangan. Hulu saif yang sedikit melengkung itu bukan sahaja ergonomik malah jika dilihat garis luarnya, kelihatan seperti seorang yang sedang duduk dalam keadaan tahiyat akhir ketika solat. Bentuk ini juga memberikan gambaran huruf “alif” kepada sebilah pedang saif. Bilah yang sepanjang 5 kali hulu itu mengingatkan pemedang kepada 5 Rukun Islam iaitu mengucap dua kalimah syahadah, sembahyang, puasa, zakat dan menunaikan haji. Kelima-lima Rukun Islam ini merupakan kaedah untuk menyatukan umat Islam dari seluruh dunia, tidak mengira bangsa dan kaum. Kesemuanya mengucap dua kalimah syahadah, bersembahyang menghadap Kaabah yang satu demi menyembah Tuhan Yang Esa, berpuasa di bulan Ramadan, membayar zakat untuk membantu mereka yang memerlukan dan menunaikan ibadah haji di mana semua manusia dianggap sama, dengan pakaian putih yang serupa, di dalam satu kesatuan yang nyata.
Di Alam Melayu, pedang merupakan senjata Raja-raja dan bukan milik rakyat jelata. Oleh sebab itu, perlu difahamkan bahawa bukan semua senjata berbilah panjang adalah pedang. Pedang mempunyai kriterianya yang tersendiri. Rekabentuk, ukuran, imbangan dan kaedah permainannya juga unik. Ianya merupakan lambang penyatuan orang Melayu di bawah satu Raja yang memerintah berpaksikan kepada aqidah dan berpegang kepada tauhid. Keris merupakan lambang orang Melayu, manakala pedang adalah lambang hak dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada Raja-raja Melayu. Begitu juga dengan kerajaan Islam yang lain. Kesemuanya mempunyai pedang sebagai lambang kedaulatan Raja yang memelihara kesucian agama Islam.
Islam tidak menganjurkan peperangan, malah melarang umatnya daripada menceroboh hak orang lain. Namun begitu, peperangan tidak dapat dielakkan apabila kedaulatan dan kesucian Islam terancam. Salah satu daripada peperangan tersebut ialah Peperangan Yarmuk pada tahun 13H bersamaan tahun 636M. Peperangan yang telah berlaku di antara tentera Islam dengan Empayar Rom (Byzantium) di dataran Yarmuk di Syria ini dianggap oleh kebanyakan sejarawan sebagai titik penentuan di dalam sejarah perkembangan Islam. Berdasarkan anggaran moden tentera Empayar Rom dikatakan berjumlah sehingga 100,000 orang berbanding dengan tentera Islam sekitar 40,000 orang.
Tentera Empayar Rom telah diketuai oleh seorang general berbangsa Armenia bernama Vahan, manakala tentera Islam diketuai oleh Saidina Abu Ubaidah Al-Jarrah, tetapi beliau telah membenarkan Saidina Khalid Al-Walid untuk memimpin pertempuran ini. Beliau telah memilih untuk bertempur di dataran Yarmuk kerana dataran ini memudahkan penggunaan tentera berkuda dan ia juga menyekat pergerakan pasukan Byzantium yang jauh lebih ramai daripada tentera Islam. Menyedari bahawa pasukannya mempunyai kekurangan dari segi bilangan, Saidina Khalid Al-Walid telah menghantar utusan untuk meminta bantuan ketenteraan daripada Amirul Mukminin Saidina Umar Al-Khattab di Madinah.
Bantuan daripada Madinah telah tiba, terdiri daripada ramai pembesar-pembesar Madinah sendiri termasuk Abu Sufyan dan isteri beliau, Hindun. Ketumbukan tentera Islam terdiri daripada bangsa Arab beragama Islam serta ramai veteran peperangan termasuk mereka yang pernah bertempur di Badar. Mereka semua bersatu di bawah panji-panji Islam dan pegangan tauhid yang kukuh. Tentera Byzantium pula terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, termasuklah bangsa Byzantine, Armenia dan Arab Kristian. Ini menyebabkan berlakunya konflik dalaman di antara panglima-panglima tentera Byzantium sendiri dan ini telah memberi impak negatif kepada keberkesanan mereka sebagai satu pasukan yang sepatutnya bekerjasama untuk mencapai satu objektif.
Peperangan sengit berlaku selama 6 hari. Pada hari pertama, Vahan telah menghantar panglimanya untuk berunding dengan tentera Islam supaya berundur dan mereka akan diberikan ganjaran harta dan makanan. Syarat-syarat ini tidak diterima maka bermulalah perang tanding antara hulubalang-hulubalang terhebat daripada kedua belah pihak. Hulubalang-hulubalang Byzantium tewas di tangan hulubalang-hulubalang Islam. Ini telah sedikit sebanyak menjatuhkan semangat tentera Byzantium. Pertempuran yang sengit telah berlaku dan kedua belah pihak mengalami angka korban yang tinggi, namun begitu dianggarkan bahawa 45% tentera Byzantium telah terkorban berbanding dengan hanya 10% tertera Islam yang syahid.
Kebijaksanaan Saidina Khalid Al-Walid dalam berperang telah diperlihatkan dengan strategi beliau menggunakan tentera berkuda yang tidak statik di bawah pimpinan beliau sendiri. Pasukan mobile guard ini mudah bergerak ke mana-mana bahagian medan peperangan yang memerlukan bantuan. Beliau juga telah menyekat sebuah jambatan yang menjadi jalan keluar untuk tentera Byzantium yang ingin melarikan diri. Akhirnya, pasukan tentera Empayar Rom yang gah telah berjaya dikalahkan oleh pasukan yang hanya 1/3 daripada saiz mereka, berkat daripada kebijaksanaan dan kepimpinan Saidina Khalid Al-Walid dan kesatuan serta penyatuan tentera Islam.