Dewan Budaya Januari 2021
Jenis dan tipologi pedang Melayu
Kita perlu melihat takrifan pedang melalui kacamata Melayu dan bukan kacamata penjajah. Menurut fahaman barat, segala senjata yang berbilah panjang dipanggil sword, hatta parang juga disebut sebagai a broad-ended Malay sword di dalam buku Twentieth Century Impressions of British Malaya. Segala bentuk senjata panjang berbentuk “pedang” dikatakan sebagai European pattern with Crusader hilts. Mereka hanya mengiktiraf parang sebagai “pedang” Melayu yang asli.
Namun begitu, dalam peradaban Melayu, pedang merujuk kepada sejenis senjata yang mempunyai bilah yang panjangnya “selengan” atau lebih, iaitu melebihi 25 inci dan profil bilahnya selari atau menirus ke hujung. Namun ada juga pedang yang mempunyai false edge atau “kepala buaya” yang lebar di bahagian hujung bilahnya. Bilah pedang Melayu adalah lurus atau melengkung, dan ada yang bermata satu atau dua. Pedang Melayu juga terdiri daripada dua jenis utama iaitu pedang yang dipegang dengan satu tangan (segenggam) dan pedang yang boleh digenggam menggunakan dua belah tangan. Daripada kriteria ini, dapat kita tentukan bahawa parameter untuk mengenalpasti pedang Melayu termasuklah panjang bilah, bentuk bilah dan juga panjang hulunya. Selain daripada itu, kehadiran sarung juga merupakan satu ciri khas pedang Melayu. Pedang Melayu terdiri daripada tiga bahagian utama iaitu bilah, hulu dan sarung. Ada juga pedang Melayu yang mempunyai sangga atau pelindung tangan.
Artikel kali ini akan melihat empat kumpulan pedang Melayu yang utama iaitu pedang makara, pedang jenawi, pedang chenangkas dan pedang buaya berenang. Pedang-pedang ini mempunyai bilah yang lurus atau melengkung, dan pembahagian berat bilah yang berbeza, bergantung kepada fungsinya. Selain daripada itu, kita juga akan melihat satu kumpulan senjata unik yang sering dipanggil sebagai “pedang” walaupun bilahnya tidak mencapai panjang bilah pedang yang piawai. Artikel kali ini merupakan satu usaha untuk mengklasifikasi pedang-pedang Melayu mengikut tipologi atau bentuk fizikal.
Alam Melayu mempunyai pelbagai jenis pedang, di antaranya pedang makara, jenawi, chenangkas, cunderik, sikin, alameng, klewang, nabur, pedang belut dan pedang buaya berenang. Di dalam artikel yang lepas, kita telah melihat perbezaan jenis pedang berdasarkan agihan berat bilah dan kaitannya dengan sifat-sifat fizik pedang tersebut. Bentuk pedang juga adalah dipengaruhi oleh kaedah permainan atau penggunaannya. Pedang dengan hulu tertentu boleh berbeza fungsinya apabila dipadankan dengan jenis bilah yang berbeza. Panjang bilah menjadi ciri signifikan pedang kerana permainannya memerlukan panjang bilah yang tertentu untuk memberi kesan.
Adalah dikatakan bahawa pedang Melayu yang asal ialah pedang berhulu Makara. Pedang ini merupakan pedang segenggam yang hulunya mempunyai ukiran halus berbentuk makara. Makara adalah sejenis naga laut yang pernah digunakan sebagai lambang kekuasaan kerajaan Srivijaya. Ada juga yang memanggilnya sebagai gajah mina kerana ciri-cirinya yang seakan-akan gajah. Naga laut ini merupakan lambang penguasa lautan, sesuai dengan empayar Melayu yang merupakan kuasa maritim yang dominan pada ketika itu. Bilahnya ada yang lurus atau melengkung dan pada contoh-contoh dari abad ke-19 terdapat juga bilah yang diubahsuai daripada bilah saber Eropah yang diimport. Pucuk bilah pedang ini terdapat dalam tiga bentuk iaitu bentuk mata yang tunduk ke bawah (Bentuk IA), naik ke atas (Bentuk IB) dan bentuk mata lembing (Bentuk IC). Di Tanah Melayu, hulu makara ini ada yang diringkaskan sehingga menjadi bentuk seakan-akan buah gajus. Kini, pedang-pedang jenis ini terdapat di dalam simpanan para waris pembesar terdahulu. Pedang seperti ini juga dikenali sebagai kelewang di Sumatera.
Satu lagi jenis pedang Melayu ialah pedang jenawi. Pedang jenawi agak unik di dalam ras pedang Melayu kerana ia mempunyai hulu yang panjang yang boleh dipegang dengan dua tangan (Bentuk II). Bilah pedang jenawi biasanya melengkung sedikit dan ada yang mempunyai sangga untuk mengelakkan tangan daripada tergelincir ke atas bilah pedang. Pedang jenawi sering dikelirukan dengan pedang Jepun atau katana kerana bentuknya yang hampir serupa, sehinggakan Gardner menyatakan ianya adalah pedang dari Jepun atau China. Namun begitu, kaedah menempa, profil bilah, bentuk sangga dan konfigurasi hulunya adalah sangat berbeza daripada katana. Pedang jenawi sering juga disebut di dalam hikayat-hikayat Melayu seperti Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), Hikayat Hang Tuah, Hikayat Malim Dewa, Hikayat Malim Deman, Salasilah Melayu & Bugis, Syair Siti Zubaidah Perang China, Syair Seratus Siti dan juga Syair Hemop. Pedang jenawi telah direkodkan sejak abad ke-13 jika diambilkira permulaan kesultanan Melayu dengan munculnya Sang Sapurba di Bukit Siguntang membawa bersama baginda pedang Cura Si Manjakini. Antara jenis pedang jenawi yang disebut adalah seperti jenawi jantan, jenawi bertumit dan jenawi lantai balai. Menurut hikayat-hikayat ini, pedang jenawi digunakan oleh raja dan kerabat diraja atau pegawai tinggi istana. Sehingga kini, pedang jenawi disimpan sebagai sebahagian daripada regalia Yang Di Pertuan Agong Malaysia. Cura Si Manjakini merupakan sebilah pedang jenawi yang menjadi alat kebesaran Paduka Seri Sultan Perak. Taburan penggunaan pedang seperti ini terdapat di kawasan tengah Tanah Melayu dan Sumatera, membawa ke arah utara sehingga Pattani, Champa, Korea, China sehingga ke Hokkaido.
Jenis pedang Melayu yang seterusnya dikenali sebagai chenangkas. Pedang ini sering digelar “pedang Arab” kerana bentuknya dikatakan menyerupai pedang dari timur tengah – pada tanggapan awam. Ada juga yang menggelarnya sebagai tulwar iaitu sejenis pedang daripada India kerana hulunya yang hampir serupa. Namun begitu, pedang ini adalah unik kepada Alam Melayu. Ciri utamanya ialah hulunya yang diperbuat sepenuhnya daripada logam. Ada hulu yang diperbuat daripada tembaga, besi dan perak. Nama lain bagi pedang ini ialah segenggam bunga kerana ianya merupakan pedang seganggam yang sangga hulunya berbentuk seakan-akan bunga. Taburan penggunaan pedang ini agak meluas daripada utara Tanah Melayu sehingga ke Borneo. Bilah chenangkas terdiri daripada pelbagai bentuk mengikut fungsinya, ada yang lurus (Bentuk IIIA) dan ada yang melengkung (Bentuk IIIB). Ada chenangkas yang dipadankan dengan bilah seperti bilah buaya berenang. Ada juga yang dipadankan dengan bilah arming sword atau longsword dan saber Eropah.
Dalam banyak jenis pedang Melayu, mungkin pedang buaya berenang (Bentuk IVA) adalah yang paling dikenali. Pedang ini dicirikan dengan bilah yang mempunyai kepala buaya atau yelman/false edge di bahagian hujung bilah. Bahagian ini adalah lebih lebar berbanding dengan bahagian bilah yang lain. Pada kebiasaannya, bilah buaya berenang ini adalah melengkung, tetapi ada juga yang lurus. Dipercayai pedang ini adalah adaptasi daripada pedang kilij dan pala Turki yang dibawa ketika zaman Turki Uthmaniyah mempunyai hubungan rapat dengan Alam Melayu. Pedang jenis ini mula muncul sekitar abad ke-17 dan 18. Sangga tangan yang sebelum ini tiada atau hampir tiada pada pedang-pedang Melayu lain telah diadaptasi pada pedang ini. Sangga tangan ini mungkin dipengaruhi perkembangan pedang Eropah ketika Peperangan Napoleon (1803-1815). Ada juga pedang Melayu yang menggunakan hulu tembaga sepenuhnya seperti yang terdapat pada pedang Perancis pada zaman tersebut (Bentuk IVB).
Pada pertengahan abad ke-20, muncul satu jenis senjata yang menyerupai pedang buaya berenang tetapi dengan bilah selilit kepala atau sekitar 21-22 inci panjang (Bentuk V). Senjata ini dikenali dengan nama parang panjang tetapi ada juga yang menyebutnya sebagai pedang Melayu. Ianya dipopularkan oleh kumpulan Selempang Merah yang bertempur menentang komunis pada tahun 1940an sehingga 1970an. Senjata ini juga sering dikaitkan dengan konflik perkauman pada tahun 1969. Pada pendapat penulis, senjata ini perlu dikelaskan di dalam rasnya yang tersendiri. Bagi tujuan pengecaman, penulis meletakkan senjata ini di dalam ras pedang pendek. Panjang keseluruhannya lazimnya adalah selengan termasuk hulu. Ianya mempunyai bilah yang pendek tetapi bentuk bilahnya menyerupai pedang. Ia lahir daripada keperluan untuk menghasilkan senjata seperti pedang tetapi yang dapat ditempa dalam jumlah yang banyak dalam masa yang singkat. Sangga tangannya juga dapat memberikan perlindungan kepada tangan pemakai yang mungkin kurang mahir kerana tidak banyak masa untuk berlatih. Bilahnya yang pendek memudahkan senjata ini disembunyikan dan dibawa ke mana-mana. Ianya amat sesuai dengan taktik peperangan gerila yang diamalkan oleh pejuang-pejuang Melayu pada ketika itu. Senjata ini telah tercipta kerana keperluan pada masa yang kritikal, untuk membela nasib agama, bangsa dan tanahair.
Selain daripada lima ras utama ini, terdapat juga bentuk-bentuk pedang lain yang unik kepada lokasi geografi seperti sikin Acheh (Bentuk VI), pedang nabur atau klewang Jawa (Bentuk VII), alameng Bugis (Bentuk VIII) dan pedang belut Pahang (Bentuk IX). Pedang-pedang ini turut menjadi identity masyarakat setempat atau etnik tertentu. Selain daripada itu, terdapat juga senjata-senjata berbilah panjang yang menyerupai pedang tetapi kaedah penggunaannya adalah berbeza. Ada juga di antara senjata ini yang dijadikan simbol status, azimat, hadiah dan juga untuk “menyimpan besi”. Senjata-senjata ini biasanya kurang sesuai untuk digunakan di dalam pertempuran oleh kerana saiz, bentuk atau beratnya dan juga bahan yang digunakan dalam pembuatannya. Dapat dilihat di sini bahawa pedang Melayu telah mengalami evolusi daripada bentuk yang tidak mempunyai sangga kepada yang mempunyai sangga yang sederhana dan seterusnya sangga dengan knucklebow atau pelindung jari. Evolusi bentuk pedang ini berkait rapat dengan taktik peperangan dan kelengkapan musuh. Begitulah perkaitan antara tipologi atau bentuk fizikal pedang itu dengan kaedah penggunaannya.