Dewan Budaya Februari 2021
Pedang Melayu: Adakah masih releven?
Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, pedang merupakan salah satu warisan peradaban Melayu yang penting dan sering disebut di dalam hikayat-hikayat Melayu lama. Melalui inisiatif Malay Concordance Project (MCP), didapati bahawa perkataan “pedang” disebut lebih daripada 3,000 kali dalam manuskrip-manuskrip, hikayat-hikayat dan syair-syair Melayu klasik. Pedang juga dijadikan sebahagian daripada regalia Raja-raja Melayu dan juga Yang Di Pertuan Agong. Kerabat-kerabat di Negeri Sembilan dan negeri-negeri lain masih menyimpan pedang warisan mereka sehingga kini. Muzium-muzium juga ada menyimpan contoh-contoh pedang Melayu lama.
Namun begitu, adakah pedang masih releven dalam dunia kini? Apakah signifikan pedang di dalam alaf ini? Sejarah telah membuktikan pedang masih digunakan di oleh orang Melayu untuk membela agama, bangsa dan tanahair sehingga abad ke-20. Sekitar tahun 1940an, Sultan Pahang, Sultan Abu Bakar telah menitahkan 100 bilah pedang belut Pahang ditempa dan diserahkan kepada para pembesar dan penghulu di Pahang untuk menentang pihak komunis. Pada tahun-tahun tersebut juga, gerakan Selempang Merah turut menggunakan pedang di dalam perjuangan mereka. Sekali lagi, pada tahun 1969, orang Melayu telah menghunus pedang ketika konflik perkauman berdarah 13 Mei.
Tetapi selepas itu, pedang Melayu semakin hilang ditelan arus zaman. Ilmu mengenai pedang juga semakin terhakis. Tidak banyak perguruan silat yang menggunakan pedang dan tiada perguruan yang mengkhususkan kepada penggunaan pedang sebagai senjata utama mereka. Pedang hanyalah sebagai sebahagian daripada silibus matapelajaran sesetengah perguruan, dan ada juga perguruan yang telah hilang seni berpedangnya. Maka terhasil pelbagai permainan pedang yang merupakan aplikasi daripada teknik permainan senjata lain seperti golok dan parang. Tidak kurang juga ada perguruan yang mengambil sistem permainan pedang daripada sumber asing dan mengasimilasikannya ke dalam silibus matapelajaran masing-masing. Pada perguruan lain pula, seni pedang hanya tinggal sebagai bentuk tarian dan hiburan. Ada juga perguruan yang merekacipta permainan pedang mereka sendiri.
Di dalam seni permainan senjata, ada empat kategori iaitu seni permainan warisan perguruan, seni permainan yang diambil oleh guru perguruan tersebut, seni permainan yang merupakan “sambungan kepada tangan” pengamalnya dan juga seni permainan yang bulat-bulat dicedok daripada sumber lain.
Seni permainan yang merupakan warisan sesuatu perguruan itu seharusnya mempunyai kaedah, falsafah dan sistem pelajaran atau silibusnya yang lengkap, khusus dan tersendiri, yang telah diwarisi daripada seorang guru kepada guru yang berikutnya. Setiap guru mungkin juga akan menambahbaik seni permainan tersebut bersesuaian dengan keperluan semasa. Seni permainan senjata warisan ini juga biasanya menjadi senjata utama bagi perguruan tersebut.
Kategori kedua, seni permainan yang diambil atau diasimilasi oleh guru atau perguruan. Seni ini biasanya menggunakan senjata yang bukan daripada perguruan tersebut, dan tidak mempunyai kaedah, falsafah dan sistem pelajaran yang lengkap. Senjata ini biasanya dalam kategori senjata simpanan atau senjata pendua. Pelajarannya juga biasanya dikhaskan kepada murid-murid lama atau orang kanan kepercayaan guru tersebut.
Permainan senjata “sambungan kepada tangan” pula merujuk kepada senjata yang tidak ada dalam sistem pelajaran perguruan tersebut. Namun begitu, senjata ini hanyalah sebagai alat atau tambahan kepada anggota pengamalnya. Biasanya tidak mempunyai silibus atau sistem pelajarannya yang sebenar, tetapi sebaliknya hanyalah sebagai tambahan atau aplikasi kepada sistem yang sedia ada. Biasanya diamalkan oleh seni beladiri tangan kosong yang tidak mempunyai permainan senjata, tetapi mengadaptasi senjata kepada sistem tangan kosong yang asal.
Kategori yang keempat, iaitu permainan yang dicedok bulat-bulat daripada perguruan atau sistem yang lain. Walaupun ianya tidak beretika, masih terdapat individu-individu atau perguruan yang mengamalkannya. Biasanya sistem permainan senjata ini tidak kemas, nampak kekok dan tiada falsafah di sebalik kaedahnya, kerana ianya telah ditiru daripada sumber seperti rakaman video dan seminar pengenalan yang dianjurkan oleh perguruan lain. Kategori ini seharusnya dielakkan oleh sesiapa yang ingin belajar seni beladiri, khasnya yang melibatkan permainan senjata.
Bagi menjawab persoalan sama ada seni pedang masih releven atau tidak, penulis telah menemuramah beberapa individu daripada pelbagai latarbelakang untuk mengetahui pendapat mereka. Puan Asmilin Ahmad yang bekerja sendiri kini baru melibatkan diri di dalam seni berpedang. Menurutnya, sebelum ini beliau sedar akan kewujudan senjata-senjata Melayu seperti keris, parang, kerambit dan badik tetapi kurang mempunyai pengetahuan mengenai pedang. Walau bagaimanapun, beliau tahu bahawa pedang merupakan senjata elit para pembesar dan Raja-raja Melayu, dan tidak ramai yang mempunyai kemahiran berpedang. Bagi Puan Asmilin yang kini berusia pertengahan 40-an, berpedang merupakan salah satu kaedah fisioterapi dan juga senaman untuk menjaga kesihatan beliau. Selain daripada itu, berpedang juga merupakan satu kaedah disiplin untuk mempertahankan diri baik dari segi fizikal mahupun spiritual. Beliau berpendapat seni ini dapat dikembangkan lagi dengan membuka gelanggang-gelanggang latihan seperti ketika zaman kegemilangan peradaban Melayu dahulu. Seni ini dapat dipromosikan melalui siaran radio tempatan dan dokumentasi bertulis perlu sebagai rujukan generasi yang akan datang.
Professor Dr Jak Othman, Ketua Fakulti Sains Seni Beladiri di Institute of Physical Science, Culture and Arts Malaysia juga mempunyai pandangan bahawa pedang berkait rapat dengan keluarga di raja dan Alam Melayu. Beliau yang telah 50 tahun terlibat dengan seni beladiri bukanlah seorang pemedang, tetapi beliau mahir menggunakan sundang dan pelbagai jenis senjata tradisional Melayu yang lain. Menurut beliau, permainan pedang ini baik sebagai satu pelajaran seni, dan boleh dievolusi kepada bentuk sukan. Seni berpedang ini dapat dipromosikan melalui video di dalam media sosial, artikel bertulis dan juga forum. Professor Jak Othman merupakan antara tokoh persilatan yang telah membawa Silat Melayu ke tahap antarabangsa dan mempunyai anak murid serta gelanggang di Amerika dan Eropah.
Saudara Muaz Umar, seorang perunding hartanah mula menceburi seni berpedang sejak setahun yang lalu. Beliau yang pernah melibatkan diri dalam seni beladiri lain sebelum ini mengaku kurang pendedahan mengenai pedang tetapi tahu akan kewujudan pedang di dalam Alam Melayu. Pada pemahaman beliau, pedang adalah senjata dan pakaian Melayu yang juga menjadi budaya yang wajar dikekalkan seperti budaya Melayu yang lain. Beliau berpendapat seni berpedang ini dapat dikembangkan lagi dengan mewujudkan hubungan silaturrahim di kalangan pemedang dan pembudaya peradaban Melayu yang lain, seperti di setiap majlis keramaian.
Haji Rosdan Abdul Manan pula merupakan seorang jurulatih memanah yang telah 3 tahun terlibat dengan seni permainan pedang. Beliau yang bekerjaya sebagai seorang pengurus berpendapat pedang adalah senjata penting di dalam peradaban Melayu. Beliau menganggap pedang masih releven kini kerana pedang banyak wujud dalam peradaban dan masih digunakan dalam seni beladiri dan sukan. Maklumat, demonstrasi dan keunikan seni pedang perlu ditonjolkan untuk menarik minat generasi kini kepada seni berpedang.Kebaikan yang dapat diraih melalui aktiviti berpedang perlu diketengahkan. Minat yang mendalam terhadap ilmu pedang hanya akan dapat disemai dengan adanya kefahaman di dalam bidang tersebut. Menurut beliau lagi, keterujaan sahaja tidak mencukupi kerana ianya bersifat sementara.
Kesimpulannya, seni dan ilmu berpedang ini masih releven kini kerana ianya mempunyai banyak kelebihan baik dari segi fizikal, spiritual, budaya dan keilmuan. Ianya juga merupakan salah satu budaya Melayu yang perlu dipulihara, diamalkan dan dikaji sebagai satu lambang ketinggian peradaban Melayu. Keaslian ilmu berpedang ini harus dipastikan juga demi memelihara kesinambungan dan integritinya. Kaedah-kaedah dokumentasi yang sistematik perlu dipraktikkan supaya seni peradaban Melayu ini dapat dirujuk oleh generasi akan datang. Kemajuan sains dan teknologi khasnya dalam bidang media komunikasi seharusnya diaplikasikan untuk mempromosikan seni budaya Melayu ini, diperkasakan lagi dengan kaedah-kaedah tradisional untuk membentuk satu ekosistem budaya berpedang yang mantap.