Dewan Budaya Disember 2021

Estetika dan Falsafah Seni Pedang

Di dalam makalah yang sebelum ini, penulis ada menyentuh sedikit mengenai sains di dalam seni senjata Melayu, khususnya pedang. Di dalam kesempatan kali ini, penulis ingin cuba mengupas seni di sebalik sains di dalam ilmu pedang. Untuk tujuan ini, penulis akan membincangkan topik ini dari aspek estetika dan falsafah persenjataan, termasuk pedang. Kamus Dewan mendifinisikan pedang sebagai senjata yang panjang bilahnya, biasanya tirus di hujungnya dan tajam. Definisi ini, walaupun agak umum, tetapi dapat menggambarkan sebilah pedang itu sebagai sejenis senjata yang berbilah panjang, selalunya menirus ke hujung dan tajam. Ciri-ciri ini sudah cukup untuk menggambarkan apa itu sebilah pedang, dan membezakannya dengan senjata tajam yang lain.

Di Alam Melayu ini, pedang biasanya adalah sebilah senjata yang mempunyai bilah yang berukuran di antara 23 hingga 33 inci. Ukuran ini disebut sebagai “selengan” atau ukuran panjang lengan pemakai senjata ini. Terdapat juga senjata-senjata pendek yang berukuran kurang dari 23 inci, yang sering dipanggil pedang, sundang, kelewang dan parang panjang. Dari segi estetikanya, kesemua jenis senjata ini mempunyai bilah yang menirus dan kelihatan ringkas dan anggun. Di sebalik penampilannya yang halus buatannya, ianya merupakan senjata merbahaya dan boleh membawa maut. Ianya tidak seperti sebilah parang yang melihatkan sifat-sifat gagah, kasar dan ganas.

Sepertimana seni tampak Melayu yang lain, elemen hiasan pada sebilah pedang Melayu adalah minimal dan bersederhana. Di sini letaknya elemen kesederhanaan di dalam Alam Melayu yang selari dengan nilai-nilai seni Islam. Di sebalik kesederhanaan ini, terdapat satu elemen yang sering ada di dalam seni tampak Alam Melayu iaitu simetri. Elemen simetri ini terdapat dalam kebanyakan objek seni Melayu termasuk persenjataan. Ia sering terdapat dalam motif ukiran, corak pada fabrik seperti batik dan songket, anyaman dan juga senibina. Simetri adalah manifestasi keseimbangan. Keseimbangan amat penting dalam alam semulajadi yang amat rapat dengan orang Melayu. Kelestarian alam semulajadi memerlukan keseimbangan.Orang Melayu telah lama memahami rahsia keseimbangan, lantas elemen ini sering digambarkan di dalam seni tampak malah kehidupan harian mereka. Saintis tersohor Albert Einstein juga mengasaskan teori-teori fizik beliau berdasarkan kesederhanaan yang mendasari alam semulajadi.

Keseimbangan tidak semestinya bermaksud kedua-dua elemen yang saling mengimbangi ini mempunyai rupabentuk yang sama. Di dalam alam Melayu, unsur lelaki dan wanita atau “jantan” dan “betina” sering digunakan untuk menunjukkan sesuatu keberadaan yang berada di dua spektrum yang berbeza tetapi saling memerlukan dan saling melengkapi. Di dalam alam persilatan dan persenjataan, perkataan jantan dan betina sering digunakan untuk menggambarkan permainan silat tersebut, sebagai contoh gelanggang jantan dan betina yang mana membawa erti gelanggang terbuka (jantan) dan gelanggang tertutup (betina). Begitu juga kekuda jantan dan betina yang menggambarkan kekuda rendah dan tinggi. Dari segi senjata pula, senjata “jantan” biasanya mempunyai bilah yang lebih lurus dan tirus, berbanding dengan senjata “betina” yang mempunyai bilah yang lebih lebar. Satu contoh senjata jantan dan betina yang jelas ialah pisau wali dari utara tanahair. Wali ialah bahasa orang Kedah yang bermaksud “pisau”. Wali jantan merupakan sejenis senjata tajam yang mempunyai bilah tirus dan sesuai untuk menikam, manakala wali betina pula mempunyai bilah yang lebih lebar dan lebih sesuai untuk menghiris. Bagi keris pula, keris jantan merujuk kepada keris lurus yang tidak berlok, manakala keris betina adalah keris yang berlok.

Di sini juga letaknya prinsip kesatuan dalam kepelbagaian yang merupakan salah satu prinsip kesenian Islam. Sayyid Hossein Nasr pernah berkata bahawa seni Islam adalah sebagai wadah kepada hakikat wahyu di dalam Islam melalui alam rupa, kerana ia terlahir dari hakikat Islam, yang mendorong manusia ke dalam ruang Ketauhidan. Menurut beliau lagi, seni adalah kombinasi kebijaksanaan dan sains. Oleh itu, kepelbagaian rupa dan motif dalam komponen-komponen seni tampak Melayu, khasnya pada seni persenjataan, mempersembahkan suatu manifestasi keharmonian yang unik dan mempunyai resonans dengan jiwa pemerhati. Seorang pandai keris pernah berkata, kena buat betul-betul, kalau tak nanti dia bodoh. “Bodoh” di sini merujuk kepada ketiadaan harmoni dan kesatuan di dalam hasil akhir tersebut. Ia juga merujuk kepada keseimbangan dari segi fizikal (tampak), mekanikal dan spiritual senjata tersebut. Bagi sebilah senjata, apabila tiada keseimbangan dan harmoni, maka fungsinya sebagai senjata tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Di sinilah seni di sebalik sains persenjataan tersebut memainkan peranannya.

Simetri juga melambangkan keteraturan dan kestabilan. Kestabilan membawa kepada keharmonian. Dalam ertikata ini, simetri juga membawa kepada pengulangan corak-corak seperti yang terdapat pada anyaman dinding rumah dan sulaman kain songket. Pada senjata, pengulangan ini juga boleh dilihat pada kerawang di aring keris. Pengulangan corak ni boleh ditafsirkan sebagai zikir yang berulang-ulang. Pengulangan ini juga merupakan salah satu manifestasi kestabilan dalam mencapai ketenangan dan harmoni, ibarat mendengar alunan ombak membelai pantai secara konsisten. Begitulah juga seharusnya apabila seseorang itu memegang dan membelai sebilah pedang atau senjata Melayu yang lain. Sekiranya senjata yang dipegang itu terasa “panas” dan tidak selesa, maka ianya mungkin tidak serasi dengan individu tersebut, atau individu tersebut mungkin perlu “mengenali” senjata tersebut terlebih dahulu. Di sinilah konsep keseimbangan dan keharmonian dapat diperhatikan dan dipraktikkan.

Menurut Sayyid Hossein Nasr lagi, prinsip kesatuan amat berkait dengan keindahan dan fungsi di dalam kesenian Islam… sesuatu yang indah itu seharusnya juga berguna dan boleh digunakan pada hakikatnya;… Fungsi bukanlah bertentangan dengan keindahan tetapi mengiringinya. Ini adalah kerana seni di dalam Islam adalah berdasarkan konsep Tauhid, iaitu keEsaan Tuhan Yang Satu. Ia juga berkait dengan hubungan antara Tuhan dan alam sebagai ciptaanNya. Perkaitan antara keindahan dan fungsi atau utiliti di dalam seni persenjataan Melayu merupakan satu faktor penting yang menyumbang kepada keserasian antara senjata dan pemakainya. Sesuatu yang indah tetapi tidak boleh digunakan tidak bersesuaian dengan prinsip kesederhanaan dalam Islam. Konsep Art for the sake of Art atau “seni semata-mata kerana seni” tidak digunapakai di dalam Islam. Sesuatu yang tidak praktikal – baik objek atau perbuatan – tidak digalakkan di dalam Islam kerana ianya dianggap sebagai suatu pembaziran. Prinsip seni dalam Alam Melayu juga membawa konsep dan pemahaman yang serupa. Oleh itu, seni senjata di dalam Alam Melayu bukanlah satu manifestasi keindahan semata-mata, tetapi senjata tersebut juga adalah praktikal dan boleh berfungsi dengan baik. Di sini juga kita dapat perhatikan konsep simetri dan kesatuan serta keseimbangan di dalam seni Alam Melayu. Ianya juga adalah suatu contoh kombinasi seni dan sains yang melambangkan kebijaksanaan Melayu itu sendiri.